Monday, May 21, 2012

Soal Jawab Berkenaan Isu Stail Lukisan


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Baru-baru ini saya terperasan, isu berkenaan stail lukisan dalam komik sudah kembali hangat.

Stail komik Manga vs. stail komik Malaysia.

Mungkin musimnya sudah datang semula.

Okey, bagi sesiapa yang tidak tahu-menahu berkenaan isu ini, biarlah saya jelaskan dengan teliti.

Stail Manga: Stail lukisan yang berasal daripada Jepun. Stail sebegini sering dilihat dalam komik-komik buatan Jepun, seperti komik Naruto, One Piece dan Bleach. Dikatakan pelopor kepada stail Manga adalah Osamu Tezuka, iaitu bapa komik Jepun.

Stail Malaysia: Stail lukisan yang berasal daripada Malaysia. Stail sebegini boleh dilihat dalam majalah-majalah komik buatan Malaysia seperti Ujang, APO? dan Gila-Gila. Stail Malaysia ada banyak variasinya, tetapi antara ciri paling ketara adalah wataknya berhidung kembang dan gigi terkeluar.

Isu: Ada segelintir manusia kerap menempelak/memandang rendah/mengejek pelukis yang menggunakan stail Manga. Manusia-manusia itu mendakwa, pelukis yang menggunakan stail Manga tiada jati diri dan terikut-ikut stail luar. (Yang super peliknya, pelukis yang menggunakan stail komik US tidak diperkatakan apa-apa pula, malah dipuji dan dipuja, walhal stail US juga stail luar).

Okey, sekarang saya akan menjawab persoalan yang sering dilontarkan oleh 'pejuang' stail komik Malaysia kepada pelukis stail komik Manga:

***


Soalan: Mengapa gunakan stail Manga? Mengapa tidak gunakan stail Malaysia?

Jawapan: Sebab saya lebih sukakan stail Manga berbanding stail Malaysia. Sebagai pelukis, saya ada hak bagi memilih stail lukisan, medium dan genre komik saya sendiri. Malah, komik berstail Manga adalah sumber inspirasi saya semasa melukis komik. Sebab itulah saya gunakan stail Manga.

Bertanya soalan begini kepada pelukis, sama seperti bertanya soalan ini kepada pembeli kereta: Mengapa beli kereta BMW, mengapa tidak kereta Proton Preve?

Suka hati dialah mahu beli apa. Dia membeli dengan wang dia sendiri.

Sebagai pelukis, saya juga begitu. Saya melukis dengan tenaga dan alatan melukis saya sendiri. Suka hati sayalah mahu gunakan stail apa-apa pun.

***

Soalan: Mengapa sekarang semakin ramai pelukis tempatan gunakan stail Manga? Disebabkan mereka inilah, stail Malaysia semakin terpinggir.

Jawapan: Mudah sahaja. Zaman sudah berubah. Begitu juga cita rasa pelukis dan pembaca komik. Zaman kegemilangan komik-komik stail Malaysia sudah berlalu. Tidak perlu nafikan, sekarang adalah zaman kegemilangan komik berstail Manga.

Anggap sahaja komik seperti fesyen. Saya yakin anda yang bertanya soalan ini, sedang memakai seluar jean (sekiranya lelaki) dan bukannya seluar bell-bottom.

Malah, komik berstail Malaysia tidak terpinggir pun. Sekiranya mahu baca komik sebegitu, beli sahajalah majalah komik Ujang, APO? dan Gila-Gila. Semua majalah komik itu masih ada di pasaran.

Bagi saya, jumlah pembaca komik stail Malaysia tidak berkurang, tetapi jumlah pembaca komik stail Manga yang bertambah dengan pesat. Ini satu hakikat yang perlu ditelan meskipun pahit.

***

Soalan: Sebagai seorang pelukis tempatan, tidak malukah gunakan stail Manga? Di mana jati diri kamu? Di mana???

Jawapan: Tiada sebab untuk saya malu. Malah, saya yakin saya seorang yang kuat jati diri.

Manga hanya stail lukisan. Dalam komik-komik saya, nama watak, cara hidup watak, latar belakang, pakaian, semuanya bercirikan Malaysia. Dalam komik-komik saya, ada adegan watak utama makan nasi lemak, ada adegan solat berjemaah di masjid, sesekali watak utama memakai baju Melayu, watak-watak perempuan memakai tudung, ada adegan puasa, raya dan sebagainya.

Tiada jati diri? Anda pasti?

***

Soalan (lebih kepada kenyataan sebenarnya): Banyak komik sekarang menggunakan stail Manga. Membosankan dan tidak best!

Jawapan: Saya mahu tanya semula. Sudah cuba baca komik-komik itu? Ataupun anda sekadar membelek komik-komik itu dan letak semula, kemudian mengatakan yang semua komik itu 'membosankan dan tidak best' semata-mata kerana ia menggunakan stail Manga?

Belum baca pun, sudah tahu ia membosankan dan tidak best?

Heibat!

***

Soalan: Adakah anda akan berbangga sekiranya anda berjaya dengan stail komik Manga di Malaysia?

Jawapan: Ya, saya sangat berbangga!

***

Itu sahaja setakat ini. Insya-Allah, saya akan update lagi entri ini sekiranya saya terjumpa soalan-soalan baru.

Sebelum bersurai, saya ada satu nasihat kepada orang-orang yang tidak habis-habis mempertikaikan stail komik orang lain:

Sekiranya tidak berpuas hati melihat stail lukisan yang anda suka kian pupus, saya cabar anda untuk masuk ke dalam industri komik dan perjuangkan stail yang anda gemari. Angkat pen dan berjuang! Berhentilah menjadi pengkritik tetap yang tidak habis-habis memperlekehkan usaha orang lain!


Be a man and get in the war!


Wassalam.

15 comments:

  1. Betul,aku setuju ^^,

    Sebenarnya kalau nak ikutkan, stail Malaysia pun ikut Barat Classic Cartoon punya,kalau nak tengok betul-betul Malaysia stail,lihat karya-karya Dato' Lat.

    Jadi tidak perlulah kita nak berbalah sesama sendiri tentang stail, yang penting mesej yang nak di sampaikan, sampai kepada pembaca. Itulah sebenarnya kepuasan bagi seorang pelukis komik.

    Terima Kasih.

    ReplyDelete
  2. persoalan saya seorang orang biasa dalam dunia komik ni..

    1:adakah stroke malaysia tu hanya ada di apo ujang dan gila?dan berhidung bulat?tp mcm mana dengan lukisan kartunis aie dalam lukisan dia dalam blues untuk aku dan aku dan sesuatu?
    dia tak berhidung bulat tp jati diri malaysia tu kuat..


    2. apa yang saya tahu style mangga tak semesti mata besar,manga itu perkataan yang bermaksud komik.jadi apa beza nya style lukisan slum dunk, akira yang mana mereka mengunakan style berbeza dgn naruto, one peace yang mana mata karekter lain,tidak besar..

    3.persoalan apa beza antara style komik dan kartun.. mungkin encik lebih tahu beza dua ni..

    last sekali, saya rasa tidak patut kata style malaysia sudah berlalu. apa yang boleh cakap peminat kita (malaysia) yang sudah berlalu,yang sudah kurang suka pada lukisan malaysia atau lebih tepat beridentiti kanmalaysia.

    jawapan cik dalam soalan ni

    "Bertanya soalan begini kepada pelukis, sama seperti bertanya soalan ini kepada pembeli kereta: Mengapa beli kereta BMW, mengapa tidak kereta Proton Preve?"

    bg saya sangat lari dari jawapan bg seorang pelukis. memang betul encik ada duit nak beli kereta BMW itu hak encik sebagai penguna, dan sebagai peminat dia berhak nak membeli komik manga atau apa2 sbb duit dia..
    tp sekrang encik pengkarya/pembuat kereta..
    cik yang patut menghasilkan sesuatu ia sangat berbeza antara penjual dan pembeli ,antara peminat dan pelukis..

    maaf atas persoalan ni.ia sekedar apa yang saya tahu . dan saya akui encik banyak meletakan nilai malaysia dalam komik cik..

    sekian

    al27

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana sudi berikan komentar. :)

      1. Sebab itulah saya kata, stail Malaysia ada banyak variasi. Saya hanya perkatakan stail paling dominan.

      2. Manga tidak bermakna semata-mata mata wataknya besar. Ia juga merangkumi cara menyusun panel, perletakan belon dialog, penceritaan dan lain-lain.

      3. Komik dan kartun berkongsi definisi yang sama. Penceritaan menerusi kotak-kotak panel. Sequential art.

      Maaf, mungkin tuan termasuk dalam kalangan orang yang tidak dapat menerima hakikat. Tiada apa yang dapat saya bantu. Semua hujah saya berdasarkan pemerhatian seorang pengkarya dan bukan semata-mata pembaca.

      Saya bercakap selepas melihat angka-angka jualan komik-komik di Malaysia. Kata-kata saya bukannya berasaskan emosi. :)

      Delete
    2. Pada pandangan saya, kadang-kadang lukisan Aie pun ada nampak 'manga'nya walaupun beliau yang paling awal cipta stail begitu.

      Manga sekarang dah mula vasiasi kepada semi-realistik berbanding manga dulu-dulu yang bermata besar, kurus tak ikut anatomi dan sebagainya.

      Sedangkan manga pun dah mula masukkan elemen komik Hong Kong dan Amerika.

      Delete
  3. YES! TERBAIK~! tidak kisahlah stail apapun asalkan ada jati diri dan mesej yang ingin disampaikan~!

    ReplyDelete
  4. Yeaah!! Memang pedas! Panas telinga! Haha.. Bagi aku, aku layan saja semua komik asalkan dia best bagi aku. Walaupun aku suka stroke manga, tetapi stroke lukisan seseorang itu bukankah perkara utama untuk aku tertarik membaca sesebuah komik itu. Bagi aku paduan antara cerita, rekabentuk watak, juga teknik lukisan itu yang penting.

    Aku layan je semua siri Misi2 A tu sekali dengan mission impossible, tetapi aku tetap gak layan Pendekar Melayu Terakhir karya Azhar yang guna teknik berus tu dan stail Bophairy. Bagi aku, kemahiran pengkarya itu mem'blending' komik itu yang penting untuk menarik minat pembaca.

    Kalau lukisan manga tu cun pun tapi cerita tidak membina, sampah juga bagi aku. Sama juga jika lukisan lawa macam potret, tapi cerita entah apa-apa, gaya watak lebih kurang sama sahaja setiap isu, pun sampah juga.Banyak manga-manga jepun dan komik-komik US yang stail-stail lukisan cun, tapi sampah.

    Argghh.. Aku pun tak tau nak kata apa dah. Walaupun aku suka stroke manga, tetapi itu tidak menjadi keutamaan untuk aku memilih karya untuk dibaca. Seni dan kreativiti itu luas. jadi berlapang dada lah kita semua. Wasalam..

    ReplyDelete
  5. Terserah kepada pelukis sendiri nak berstyle macam mana, aku memang tidak pandai berstyle manga sebabnya.... style manga memerlukan tahap ketelitian yang tinggi. Aku pula cincai boncai sahaja. Sebab itu aku sangat respek kepada orang yang boleh melukis stail manga. Sekian terima kasih.

    ReplyDelete
  6. kalau sy yang baru 12 tahun ni bleh ke hntar komik kat komik-m?

    ReplyDelete
    Replies
    1. boleh.. jika ada komik-M lihat bahagian belakang ada cara.

      Delete
  7. Bile nak sambung proses penghasilan komik?(langkah ke-4 dan seterusnya)

    ReplyDelete
  8. actually, dia bukan masalah, story ni atau masalah manga ke, US ke, manhwa ke, strip ke.... INI MASALAH FORM.

    every artist have their individual quality yang diorang develope supaya ada signature style.

    they EARN their style. they work hard, and earn the form they develop from their understanding of elements, principle of art. figure, space theory, signifiers.

    u boleh buat painting, tapi kalu u buat Jackson Pollock, where the hell is "you"!!!

    every mangaka, REAL mangaka, yang obvious kerana originality dia. senaraikan semua mangaka yang top, semua somehow different from each other. still semua tu manga.

    nak buat manga, buatla manga, jangan buat akira toriyama. nak buat ala us buat la, jangan buat Jimlee.

    pramlee yang masa dulu boleh la.... masyarakat tak ramai terdedah dengan dunia luar...atas komunikasi yang terhad, so dia bawak balik buat versi melayu idea-idea= three stooges, seven samurai tu jadi bujang lapuk, 6 jahanam.. tapi dia pun ambik konsep je... dia tak ambik gaya.

    ni kalau nak jadi great la. Influence memang tak boleh lari. tapi still kena juga u faham understanding unsur-unsur dan prinsip rekaan yang asas, so that one day u can develope.. so u have your own understanding on..."ok.. yang ni i buat macam ni sebab ada base dia"

    swaping other people's form is really uncool.

    komik US susah nak kata tiru sebab dia lebih kepada realisme... Manga ni expressionisme..

    Realisme semua back tu nature, so sesapa yang buat realisme, semua orang based dia sama... nature...so lagi kene gila punya struggle to be unique, sapa yang buat expressionisme , ada lebih freedom sebenarnya, banyak option pun. dia boleh jadi macam mana boleh kuar doraemon, sin chan, macamana mereka selesaikan masalah form mereka.

    macam Azhar tu... tgk dia deal problem form dia dari base elemen. hasilnya keluar form dia sendiri. dia punya expression sendiri nak lukis mata, hidung ni macamana... dia refer mata, hidung ni study form to dari nature. bukan dia study jimlee lukis hidung macamana... aku rasa la... dia study manusia punya hidung macamana dia nak execute/stylize. jadilah style dia.

    dia macam lagu/muzik la... kan memang susah nak buat sound original sebab kod ada tujuh je dah beribu lagu guna.

    macam form inuoe takehiko, akira toriyama, katsuhiro otomo... form mereka unique dari satu sama lain... walaupun semua masih disebut manga... if you struggle nak jadi unique la kan...

    sebab kalau obvious, percayalah ia adalah obvious.

    susah kan...

    nak senang, ignore je la....
    buat je....

    biasalah.. 3rd world country....kit ajust absorb.

    ojak85@yahoo.com

    ReplyDelete
  9. Salam.

    Saya penggemar komik semenjak kecil. Gembira dapat membaca ulasan yang hebat ini.

    Kagum seperti Dato' Lat yang mempunya stroke tersendiri justeru membawa komik Malaysia ke mata dunia.

    ReplyDelete
  10. stail ujang yang hidong kembang ngan muncung mulot ke depan tu sebab stail orang jawa, tgk betul2 kebanyakkan orang jawa tulen, hidung kembang, muncung mulut ke depan..

    ReplyDelete