Saturday, May 5, 2012

Humor dan Komedi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Humor dan komedi adalah elemen yang sangat penting dalam mana-mana medium penceritaan, tidak kisahlah sama ada novel, komik, siri animasi mahupun filem. Berdasarkan pemerhatian saya, cerita yang di dalamnya terkandung humor biasanya lebih digemari berbanding cerita yang serius.

Seorang ilustrator hebat pernah memberitahu saya, sebuah karya hebat mampu menguasai emosi pembaca ataupun penonton.

Sebagai contoh, komik.

Komik yang hebat mampu membuatkan pembaca mengalirkan air mata apabila tiba pada babak sedih, mampu membuatkan pembaca tertawa terbahak-bahak apabila tiba pada babak lucu, dan mampu membuatkan pembaca rasa bersemangat apabila tiba pada babak yang bermotivasi.

Selalunya, jenis emosi manusia yang paling mudah dikawal adalah tawa. Manusia lebih mudah tertawa berbanding menangis. Oleh itu, memasukkan humor dalam karya adalah langkah pertama yang bijak dalam usaha mengawal emosi pembaca.

Humor paling mendatangkan kesan adalah humor yang muncul secara tiba-tiba dalam adegan serius. Istilahnya, humor serius. Contoh humor serius ada dalam filem Avengers, iaitu semasa Hulk menghentam Loki ke tanah secara bertalu-talu. Perbuatan Hulk dalam babak itu sangat ganas, malah atmosfera dalam adegan itu juga tegang dan serius, tetapi ia dapat menggeletek hati penonton.

Humor serius paling tinggi tingkatnya, namun paling sukar difikirkan.

Dua kunci utama dalam penciptaan humor adalah watak dan situasi. Kedua-dua kunci ini, sekiranya digunakan sepenuhnya, pasti akan dapat menghasilkan humor yang mampu membuatkan pembaca/penonton sekurang-kurangnya tersenyum.

Saya mahu mengambil contoh babak daripada komik Misi 10A, iaitu semasa Aizad dan Zahid belajar bahasa Inggeris bersama-sama John Perry. Saya mendapat maklum balas daripada para pembaca, agak ramai yang mengatakan adegan itu lucu,

Selepas saya melihat semula adegan itu, saya dapati rencahnya mudah sahaja.

1. Watak:
John Perry - pelajar pertukaran yang sedang belajar bahasa Melayu.
Aizad & Zahid - watak utama.

2. Situasi:
Aizad & Zahid belajar bersama John Perry.

Adegan asal: Aizad dan Zahid belajar berkumpulan bersama-sama John Perry.

Adegan ini terlalu biasa dan membosankan. Jadi, saya terfikir untuk tambah sesuatu dengan memanipulasi watak dan situasi.

Adegan dengan humor: Aizad dan Zahid belajar bersama-sama John Perry. Sebelum bersurai, sempat Aizad dan Zahid menguji kebolehan John Perry berbicara dalam bahasa Melayu. Akibatnya, John Perry berbicara dalam bahasa Melayu, tetapi dengan loghat Inggeris.

Dengan hanya penambahan sedikit rencah, adegan ini menjadi lebih menarik dan diingati.

Setiap kali saya menulis, itulah yang akan saya lakukan. Semasa menulis satu-satu adegan, saya akan sentiasa mencari ruang bagi memasukkan humor ke dalam adegan itu.

Saya yakin dan saya percaya, dalam setiap adegan dan plot cerita, pasti ada sedikit ruang yang boleh diselitkan humor ataupun unsur komedi.

Namun, jangan pula hasilkan watak dan situasi semata-mata kerana mahu menjayakan komedi. Hasilnya adalah humor kosong yang tiada isi. Sekiranya ada terlalu banyak komedi sebegini dalam sesebuah karya, cerita menjadi lambat dan penonton akan cepat berasa bosan.

Sekadar ingatan, sekiranya ada banyak idea humor, jangan pula penuhkan cerita dengan humor hingga membuatkan pembaca ketawa daripada halaman pertama hingga halaman terakhir. Sebarkan (spread) humor dengan rata ke seluruh cerita. Masukkan humor dengan niat mengekalkan tumpuan pembaca, dan sekadar perencah cerita. Bukan objektif utama cerita itu ditulis.

Sekian sahaja perkongsian ilmu untuk hari ini. Semoga bermanfaat.

Wassalam.

2 comments:

  1. Lawak slapstick dan spastick.

    nampaknya entry ini lebih kearah spastick. Lawak secara praktikal. saya suka terutama babak dari 'Avengers' yang dikemukakan tadi.

    Saya kurang enak jika paparan spastic dilebihkan dalam mana-mana sketsa atau paparan senario. Nampak macam kurang sopan dan berwawasan.

    Cuma sedikit pendapat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana sudi berikan pandangan.

      Sebenarnya, saya tidak merujuk secara spesifik kepada sama ada lawak spastik ataupun slapstik, seperti yang saudara katakan. Cuma, contoh yang saya berikan itu memang adalah lawak spastik menurut definisi yang saudara nyatakan.

      Apa yang saya maksudkan adalah, humor yang diselitkan dalam atmosfera/adegan/babak yang serius, tidak kisahlah humor slapstik, spastik ataupun pun (lawak bahasa). :)

      Delete