Friday, February 17, 2012

Melukis komik adalah perjuangan!


Iklan ini, yang kami jumpa di dalam buku TWINX #1 karya Pac, adalah titik permulaan perjuangan kami dalam bidang komik. Dengan penuh teruja, kami menghantar proposal dan contoh lukisan kepada tuan editor Komik-M. Alhamdulillah, mereka berminat, dan mereka bersetuju untuk menerbitkan komik kami.

Sejak itu, tidur malam kami jarang sekali mencukupi. Setiap hari kami bertungkus-lumus menyiapkan komik pertama kami. Ketika itu, saya bekerja sebagai tutor di UTM Skudai, manakala Afiq pula pelajar tingkatan 3 yang bakal menghadapi PMR. Tanggungjawab pada siang hari langsung tidak menghalang kami mengejar impian pada malam hari. 

Selama 8 bulan kami bekerja keras demi menyiapkan Aviasi Fantasi #1. 8 bulan yang penuh getir, cabaran dan rintangan. 8 bulan yang mencabar minda, emosi dan jiwa. Selama 8 bulan itu, pelbagai perkara kami tempuhi.

1. Tidak cukup tidur dan rehat (lebih-lebih lagi Afiq)
2. Dipandang sinis oleh segelintir manusia
3. Ditentang oleh ahli keluarga
4. Penurunan prestasi kerja dan pelajaran

Dan banyak lagi sebenarnya....

Tetapi....

Segala kepayahan selama 8 bulan itu kami rasakan begitu berbaloi selepas komik kami siap dicetak. 

Pada malam hari saya mendapat naskhah komik Aviasi Fantasi #1, saya tidur bersamanya.




Keseronokan memegang dan membaca komik sendiri akan menghilangkan terus segala kesusahan yang dialami semasa menghasilkannya. Percayalah, itu yang saya dan Afiq alami.

Kepada para pelukis, jangan berhenti melukis selagi komik belum terbit. Satu hari siapkan satu panel pun tidak mengapa, asalkan ada kemajuan. Writer's block ataupun artist's block hanyalah rekaan manusia yang malas ataupun mahu memanjangkan deadline. Istilah 'tiada masa' pun tidak wujud, kerana setiap hari kita diberikan masa selama 24 jam. Gunakan sepenuhnya masa yang ada, kerana kita tidak tahu berapa banyak lagi masa yang tinggal.

Semakin kita dekat kepada impian, semakin besar cabarannya.

Lukisan belum cukup bagus? Berlatih hingga ia cukup bagus.
Cerita belum mantap? Mantapkan cerita.
Tiada idea? Dapatkan idea.
Tiada peluang? Ada Komik-M, Alaf 21, Wuuhuu, G3 dan banyak lagi. Semua itu peluang.

Tepis semua alasan, dan lakukan sahaja!

Sekian, wassalam.