Saturday, November 10, 2012

Teknologi Dalam Pembikinan Komik (oleh Froggypapa)

Siri novel grafik Super Safee telah mencipta fenomena dalam industri komik tempatan. Komik bertemakan bola sepak itu dihasilkan 100% dengan kaedah digital, oleh pelukis berpengalaman yang menggelar dirinya Froggypapa. Mari kita dengar pandangan beliau berkenaan penggunaan teknologi dalam pembikinan komik.



Pengenalan
Adapun, prinsip asas dan susur galur pembikinan komik itu, tidak wujud sebarang ketetapan yang diharuskan terhadap pelukisnya, oleh itu.... Fuh! Ayat seperti hendak menulis tesis.
Baik, baik! 
Saya mulakan dengan ucapan terima kasih kepada Nazry yang menjemput saya berleter di sini. Sekiranya dia tidak menjemput, tiadalah saya menulis. Jadi, kemana tumpahnya kuah jika tidak di atas keyboard saya ini? (Kurang asam! Siapa tumpahkan kuah kari ke atas keyboard aku?).

Pertama sekali, tajuk perbincangan satu hala kali ini adalah, Teknologi Dalam Pembikinan Komik. Malangnya, Nazry tidak memberitahu, apakah jenis teknologi yang perlu dibincangkan? Adakah teknologi alatan melukis? Ataupun teknologi IT? Ataupun mungkin, teknologi lukisan digital? Apakah? Jadi, saya akan rangkumkan semua sekali!
Komik dan Teknologi 
Kita manusia. Ya, tentunya bukan burung tiung. 
Jadi, disebabkan kita semua manusia yang serba-serbi mahukan yang terbaik, kita sering mengejar sesuatu yang terbaru. Contoh mudah, telefon bimbit yang kita miliki, tablet seperti iPad, Samsung, Blackberry, serta tidak lupa, jem blueberry yang manis.
Tidak dapat dibayangkan sekiranya manusia normal yang bekerja dan bergaji, tiada telefon bimbit, menaiki kereta lembu, dan tidak menggunakan pensil mekanikal. Kesimpulan mudah, kita tidak menolak teknologi. Apa jua teknologi. Apa jua. Okey? Faham? Mahu kena? Bagus! Jika ada yang tidak bersetuju, sila tampar diri sendiri kuat-kuat.
Bagaimana pula teknologi dalam pembikinan komik? This is simple (Lihat, saya sudah speaking London, jangan main-main!)
Ertinya sama sahaja. Kita, penulis dan pelukis, sentiasa mengejar perkara yang baru. Mengapa? Sebab mahu tulis cerita yang bagus, mahu lukis dengan lebih cantik dan cepat... (Hah! Banyaklah!)
Komik dan teknologi. Ada transisi di situ. Ada kisah dahulu dan sekarang. Mari!
Beliau gemar melukis dengan stroke ringkas dan comel

Teknologi Dahulu
Pada satu masa dahulu, Saiful Bahari dari Johor Bahru (bukan nama sebenar) bercita-cita mahu menjadi pelukis komik. Tetapi, Saiful langsung tidak tahu caranya. Dia hanya tahu melukis komik. 
Jadi, dia membeli majalah komik bagi mendapatkan nombor telefon dan alamat penerbit. Dia ke pondok telefon dan mendail nombor yang didapatinya. Selepas mencuba berkali-kali, barulah dia dapat bercakap dengan editor. Waktu itu, perkataan ‘editor’ pun tidak pernah dia dengar. Kemudian, editor meminta dia menghantar contoh karya dan lukisan. Dia, dengan riangnya, pulang ke rumah.
Kemudian, Saiful menulis surat dengan pen biru, dan dilampirkan lukisan komiknya. Lukisan itu menggunakan pensil sahaja. Pen lukisan agak mahal. Komik itu juga dilukis di atas kertas bersaiz A4 yang murah, ada sedikit kekotoran dan renyuk semasa proses menyiapkan komik. Namun, Saiful Bahari tetap berani. Seminggu selepas itu, komiknya siap.
Dia menampal setem 50 sen di atas sampul surat bersaiz A4, dan dia poskan surat itu dengan penuh harapan. Dia kemudiannya pulang ke rumah dan menunggu selama lima hari, sebelum dia menghubungi semula penerbit. Editor berpuas hati kepada karya Saiful, dan meminta Saiful datang ke Kuala Lumpur. 
Saiful Bahari mengambil masa dan mengumpul sedikit wang demi pergi ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumur, dia bertemu editor, dan mereka berbincang berkenaan hala tuju syarikat dan komik yang bakal diterbitkan. Kemudian, Saiful pulang ke rumah dan memulakan projek komik.
Itu dahulu. Sebelum ada teknologi baru. Kita lihat sekarang pula.
Penggunaan screentone dititikberatkan dalam penghasilan komik secara digital
Teknologi Kini
Saiful Baharu (juga bukan nama sebenar) bercita-cita mahu menjadi pelukis komik. Dia tidak tahu langsung caranya. 
Dengan telefon pintar Samsung miliknya, dia menaip kata kunci di laman Google; ‘komik malaysia’. Lalu, muncul beberapa nama penerbit komik di Malaysia. Malah, beberapa page Facebook penerbit komik terpapar pada skrin telefonnya. Dia terus like page itu dan menulis di wall page itu berkenaan hasratnya bagi menerbitkan komik. Dalam masa sejam sahaja, beberapa komen dibalas, dan Saiful Baharu dapat memahami cara-cara menjadi pelukis komik, dan teknik bagi membuatkan karyanya diterima oleh penerbit. 
Pada malam itu, dengan pen tablet jenama Wakom miliknya, dia melukis dengan menggunakan perisian percuma GIMP bagi menyediakan proposal komik. Selepas dua hari, proposal siap. Lalu, dia terus emelkan proposal kepada editor. Esoknya, editor membalas emel itu dan bersetuju menerbitkan komiknya, sekiranya Saiful Baharu sudi mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh syarikat. 
Saiful Baharu bersetuju. Projeknya mula berjalan.
Teknologi Dahulu vs. Kini
Saiful Bahari dan Saiful Baharu, mereka berdua sudah maju setapak ke arah mencapai impian masing-masing. Perbezaan antara mereka adalah sumber informasi dan masa yang diperlukan. Jelas sekali, Saiful Bahari lebih sukar mencari informasi, dan mengambil masa yang lebih lama untuk berkomunikasi dengan penerbit. Saiful Baharu pula lebih santai.
Disebabkan kita semua sezaman dengan Saiful Baharu, sekiranya anda semua bersyukur terhadap kesenangan yang dirasai Saiful Baharu, jelaslah anda tidak menolak teknologi. Kita semua, terutamanya penulis dan pelukis, begitu memerlukan teknologi. Sekiranya ada yang menolak idea ini, saya sarankan mereka duduk di dalam gua, dan bakar rusa golek.
Baik, sekarang kita sudah tahu, teknologi memang membantu kerja kita saban hari. Tiada penafian di situ. Tetapi, masih ada yang tidak mahu berganjak dari dunia lama. Masih ada penerbit yang suka memberi job dengan cara tradisional, iaitu berjumpa secara terus dan memberi job dalam bentuk bercetak, ataupun ditulis di atas kertas. Tidak salah, malah, ada kebaikannya. Penerbit ataupun editor dapat lebih mengenali pengkarya, dan maklumat berkenaan job lebih mudah diterangkan. 
Tetapi, ia datang dengan kos.
Kedua-dua pihak, editor dan pengkarya, perlu meluangkan masa sehingga separuh hari bekerja demi pertemuan itu, dan salah seorang daripada mereka perlu membelanja teh tarik, sekiranya mereka bertemu di kedai makan. Selalunya, editor yang bayar.
Lakaran komik Aku Bola dalam komik antologi Aku, Kau  & Bola : Separuh Masa Pertama

Teknologi Sebagai Sumber Ilmu
Pelukis komik yang lahir pada zaman ini juga beruntung. Mereka ada banyak sumber informasi berkenaan komik. Ribuan tutorial melukis dapat ditonton di laman Youtube. Pelbagai tip dan teknik melukis komik, yang mengambil masa bertahun bagi dipelopori oleh pelukis zaman 90-an, dapat dipelajari oleh pelukis komik zaman sekarang dalam masa singkat.
Ini bukannya tipu.
Saya juga mengambil masa berbulan-bulan bagi memikirkan cara membuat garisan focus line dalam sesebuah panel komik dengan kemas. Apabila saya berjaya menemui kaedahnya, saya menyangka saya sudah mencipta teknik baru. Padahal, memang itu tekniknya, iaitu buat satu titik fokus. Faham maksud saya, apabila saya katakan pelukis komik dahulu kurang sumber ilmu, dan pelukis sekarang begitu bertuah? Anda semua memang budak bertuah!
Kedudukan Kaedah Manual
Ramai pelukis komik berpengalaman masih kekal dengan kaedah tradisional atau manual, iaitu dakwat dan kertas. Malah, ada juga pelapis muda melukis secara manual, tetapi tetap menerbitkan komik. Entah siapa nama dia? Affin? Asfiq? Adiq? Entahlah, saya pun tidak kenal.
Penggunaan kaedah manual tidak salah malah dihormati. Dedikasi dan kerajinan jitu amat diperlukan di situ. Hei, dahulu saya gunakan cara manual juga! Pada tahun 2007, barulah saya beralih kepada cara digital.
Sedutan daripada sebuah komik pendek yang berjaya menaikkan nama beliau dalam Anugerah Pekomik 2011

Sebab Memilih Kaedah Digital
Saya memilih kaedah digital kerana saya mahu siapkan kerja dengan cepat. Saya tidak perlu membeli alatan melukis baru setiap bulan. Saya tidak perlu imbas dan bersihkan manuskrip. Bagi saya, lebih baik begini, yang mana akhirnya lukisan itu akan masuk juga ke dalam komputer. 
Bagi saya, nilai sebenar komik adalah apabila pembaca memegang komik itu, membaca, menikmati keseluruhan komik itu, dan berpuas hati. Bagaimana komik itu dihasilkan adalah hak milik peribadi dan kepuasan individu yang melukisnya. Namun, saya tetap berasa iri hati terhadap ketelitian hasil kerja manual.
Maklum Balas Pembaca
Pembaca komik sentiasa ada, malah semakin bertambah. 
Dahulu, maklum balas terhadap sesebuah komik hanya berdasarkan jumlah pucuk surat daripada peminat. Sekarang, lebih mudah dengan adanya Facebook dan blog. Malah, kini, sebelum komik diterbitkan lagi, pelbagai komen sudah boleh diterima, itu pun sekiranya pengkarya membuat page Facebook ataupun blog. Tetapi, saya tidak rajin. Maafkan saya.
Kesimpulan
Dengan teknologi dan kepelbagaian hiburan pada masa kini, komik tetap relevan. Cuma, kita perlu tahu cara mengaplikasi semua kemudahan yang ada. Sama ada semasa mencari idea, ketika membuat komik, ataupun selepas komik dicetak, kita sentiasa berpeluang memanfaatkan teknologi. Tiada gunanya duduk terperuk di bawah tempurung dan skeptikal kepada teknologi.
Dari tempat saya berdiri, teknologi sekadar alat. Kreativiti yang penting. Jangan salahkan Mike Zuckerberg sekiranya kerja anda tidak siap.
Terima kasih kerana sudi membaca. Selamat bekerja!
Berkenaan Penulis
Froggypapa adalah pelukis komik profesional yang menggunakan kaedah digital sepenuhnya. Beliau pernah terlibat dalam pembikinan siri komik Anak-anak Sidek. Kini, beliau sedang giat menghasilkan siri novel grafik berjudul Super Safee terbitan PTS Pop Sdn. Bhd. Pada tahun 2011, beliau dinobatkan sebagai Pekomik Terbaik dalam Anugerah Pekomik. Alamat blog beliau adalah http://froggypapa.blogspot.com/

Monday, November 5, 2012

Revolusi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya yakin, ramai pelukis komik di luar sana memasang pelbagai cita-cita dan impian.

Ada yang mahu menjadi pelukis komik profesional ataupun sepenuh masa, ada yang mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap komik, dan tidak kurang juga, ada yang mahu mencipta revolusi dalam industri komik.

Saya dan Afiq memulakan karier dalam bidang komik dengan impian sedemikian rupa. Alhamdulillah, kini kami berjaya menerbitkan 6 buah novel grafik, dan insya-Allah, jumlah itu tidak akan berhenti di situ.

Tujuan saya menulis entri ini adalah bagi berkongsi pandangan yang tersintesis daripada pengalaman, pengetahuan, dan pengamatan sepanjang menjadi penulis komik.

Sekiranya mahu menjadi pelukis komik profesional, perlu terbitkan komik.
Sekiranya mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap komik, perlu terbitkan komik.
Tentu sekali, sekiranya mahu mencipta revolusi dalam industri komik tempatan, perlu terbitkan komik.

Penerbitan yang saya maksudkan adalah penerbitan komersil. Iaitu, komik diterbitkan dalam bentuk buku fizikal oleh syarikat penerbitan yang sah, dan komik itu diedarkan ke seluruh negara.

Penerbitan komik indie, amatur, percuma, dan seumpama dengannya, tidak akan mampu mengubah pandangan masyarakat terhadap komik, apatah lagi mencipta revolusi. Sumbangan komik-komik indie dalam industri komik tempatan adalah kurang signifikan berbanding komik-komik yang dicetak dan diedarkan oleh syarikat penerbitan. Ini satu hakikat yang memeritkan bagi sesetengah pekomik.

Bagi mereka yang menganggap melukis komik sebagai hobi pada masa lapang, dan mungkin kerjaya sambilan, penerbitan indie adalah medan yang sesuai.

Bagi mereka yang mahu menjadi pelukis komik sepenuh masa, mahu membawa perubahan, dan mahu mencipta revolusi dalam industri komik tempatan, penerbitan buku komik secara komersil adalah jalan yang perlu dilalui. Bukannya penerbitan di Facebook ataupun laman sosial lain.

Mereka yang mahu mencipta revolusi dalam industri komik, tetapi masih bergelumang dalam dunia penerbitan indie, tidak ubah seperti seorang askar yang hanya menyaksikan peperangan tanpa kemampuan menyertainya.

Mahu cipta revolusi komik? Mahu memperbetulkan tanggapan masyarakat terhadap medium komik? Mahu menaikkan taraf komik tempatan ke persada antarabangsa?

Satu sahaja caranya. Terbitkan komik!

Wassalam.

Friday, October 12, 2012

Latar Belakang Dalam Komik (oleh Pac)


Kali ini, bersama-sama kita adalah Nizam Pac, pelukis komik sains fiksyen yang tidak asing lagi. Beliau adalah pemenang Anugerah Pekomik Terbaik dalam Anugerah Pekomik 2010. Mereka yang pernah membaca hasil karya Pac tentu mengagumi ketelitiannya dalam melukis latar belakang. Dalam entri ini, Pac berkongsi cerita berkenaan latar belakang dalam komik.



Kepentingan Latar Belakang

Latar belakang amat penting dalam komik, kerana ia dapat menjelaskan situasi dalam sesebuah adegan. Sesetengah pelukis komik menganggap latar belakang adalah sesuatu yang tidak penting. Ataupun, bagi mereka, latar belakang adalah sesuatu yang leceh untuk dilukis.

Logik juga. Lukis bersusah payah, tetapi harga 1 halaman komik tetap RM50. Sama ada lukis latar belakang ataupun tidak, bayarannya sama sahaja, iaitu RM50. Jadinya, latar belakang diketepikan.

Bagi aku, ini satu sikap yang tidak bagus. Kita mengharapkan nama komik Malaysia boleh naik. Tetapi, sedikit pun kita tidak mengambil inisiatif bagi menaikkan nama komik Malaysia itu sendiri, dengan harapan orang lain melakukannya. Ini tidak adil! Pada masa yang sama, kita mengagumi komik dari Jepun ataupun negara luar dengan hasil kerja yang amat teliti, dinamik, dan rajin. Tidak boleh begini.

Berbalik kepada latar belakang, ia bukanlah formula yang sangat perlu diutamakan dalam berkomik. Ada sesetengah panel tidak perlu dilukis latar belakangnya supaya ia tidak nampak terlalu semak ataupun sesak. Latar belakang juga kadang-kala tidak perlu ada supaya panel dan penceritaan nampak lebih dramatik.

Namun, ada pelukis tidak mahu melukis latar belakang dengan alasan tidak mahu komik mereka terlalu sesak, dan demi menjadikan komik mereka lebih dramatik. Hal ini diselesaikan dengan memperbanyakkan adegan close-up (bahagian muka biasanya). Ada juga yang memenuhkan kotak panel dengan garis gerakan. Garis gerakan memang penting bagi menjadikan adegan lebih dinamik, tetapi sekiranya ia dilukis berlebihan, pembaca akan menjadi bosan dan mengesyaki pelukis seorang yang malas.

Lukisan Pac sebelum terbitnya TwinX #1


Formula Melukis Latar Belakang

Jadi, formula yang aku gunakan bagi melukis latar belakang adalah begini:

Bagi adegan watak sedang membeli-belah di pasar ataupun sedang berada di pasar, aku akan lukis latar belakang besar bagi menunjukkan suasana di pasar dalam panel pertama ataupun kedua. ataupun di dalam mana-mana panel selagi halaman itu menerangkan yang watak berada di pasar. Bagi panel-panel seterusnya (selagi berada di pasar) sekiranya tidak lukis latar belakang pun tidak mengapa. Sekurang-kurangnya, gambar close-up (bahagian muka/muka dan badan/watak berdua ataupun bertiga) dan long-shot (watak berkumpulan) dilukiskan dengan sedikit latar belakang pasar.

Secara jujurnya, aku sendiri masih belum pernah melukis latar belakang yang terlalu rumit, dan masih ada jenis-jenis latar belakang yang belum pernah aku lukis.

Soal cantik ataupun tidak sesebuah latar belakang, itu perkara lain. Berkenaan lukisan perspektif, latar belakang yang dramatik ataupun dinamik memerlukan daya kreativiti dan imaginasi yang kuat. Ia memerlukan daya kefahaman yang tinggi berkenaan objek di sekeliling kita. Dalam hal ini, kemampuan ini memerlukan daya pemerhatian yang mantap terhadap fizikal realiti.

Aku ambil analogi begini bagi menerangkan maksud aku di atas.

Katakanlah, seseorang itu tidak pernah melihat motosikal yang sebenar di dalam dunia sebenar, gambar, ataupun televisyen, orang ini tidak akan dapat melukis motosikal walaupun perkataan motosikal disebut kepadanya berkali-kali. Bagi individu yang pernah melihat motosikal ataupun memahami motosikal dengan fungsinya, dia tidak akan ada masalah bagi membayangkan motosikal. Dengan latihan yang cukup, individu ini mampu melukis motosikal dengan proportion yang tepat, tidak mengira dari sudut mana sekalipun. Kes ini dapat dipadankan dalam melukis latar belakang juga.

Objek motosikal juga sangat penting di dalam komik Malaysia moden. Ini disebabkan masyarakat kita tidak dapat dipisahkan dengan kenderaan ini. Di kampung, kawasan pedalaman, ataupun di bandar, kita boleh temui kenderaan ini. Kebanyakan pelukis komik baru selalu terlupa memasukkan kenderaan ini di dalam komik. Sebaliknya, pelukis komik akan melukis watak hanya berjalan kaki tanpa mengira jarak perjalanan, sama ada 200 meter ataupun 2500 kilometer. This is insane!

Dalam komik Jepun, perkara ini tidak mustahil, kerana mungkin watak akan berjalan kaki berpuluh kilometer dan menaiki kenderaan transit aliran ringan seperti keretapi, monorel, dan LRT. Tetapi, kita orang Malaysia. Orang Malaysia lukis cerita komik di negara Jepun. Come on! Kamen rider pun menaiki motosikal.

Pembaca juga dapat menilai cara pemikiran pelukis ataupun penulis komik. Sama ada pelukis seorang yang teliti, matang, suka loyar buruk, skema, delusional, mahu komik segera siap, rasional, liberal, dan sebagainya.

Antara lukisan latar belakang dalam salah satu hasil karya Pac


Menulis Realiti dan Sains Fiksyen

Aku gemar melukis cerita yang berkaitan realiti dan juga sains fiksyen. Pada pendapat aku, realiti sangat mudah dijelaskan terutamanya dengan sains. Subjek yang aku cuba elakkan sekarang adalah berkenaan hantu, kuasa mistik, paranormal, dan UFO. Bukan apa, secara jujurnya, aku sedikit pun tidak dapat jelaskan subjek-subjek yang aku sebutkan tadi. Dan aku jamin, tiada siapa pun dapat menjelaskannya.

Let’s be honest. Aku dan orang lain makan benda yang diperbuat daripada bahan yang sama, pernah berasa letih, lapar, dan sakit. Kita sama-sama tidur apabila mengantuk. Apabila kita semua sudah cukup tidur, kita bangun. Kita sama-sama bangun pagi dan pergi kerja. Soalannya sekarang, bagaimana orang lain boleh tahu benda yang aku tidak tahu?

Tetapi, sekiranya penerbit sanggup bayar aku gaji yang tinggi untuk mengkaji subjek-subjek di atas, memang aku sanggup buat. Biasalah, mahu hidup. Dalam dunia aku, duit tidak datang dari langit seperti sesetengah orang fikirkan.

Aku hanya akan tulis cerita berkenaan perkara yang aku faham. Bagi mereka yang pernah baca komik Twin X aku, aku ada sertakan pautan yang menjelaskan nama saintifik dan istilah-istilah yang sukar difahami. Sekiranya pembaca skeptikal terhadap penerangan aku, aku harap pembaca boleh belajar sendiri subjek yang berkaitan. Sekiranya tahu sahaja tidak mencukupi, perlu fahamkan juga, barulah betul.

TwinX adalah komik fiksyen sains, jadi aku tidak boleh terus pergi kepada sains. Sekiranya mahu belajar sains, lebih baik baca buku sains, bukan? Jadi, bagi menjadikan komik TwinX menarik, aku perlu twist fakta sains yang ada dan berikan sedikit penjelasan, supaya pembaca yakin dan faham penulisan aku. Banyak unsur yang aku terpaksa ubah sedikit dalam komik itu, terutamanya meriam positron, kepintaran buatan yang begitu advance, dan spontaneous mutation yang dialami oleh Joshua dan Aizam.

Itu tidak bermaksud positron tidak wujud, cuma proses penyediaan partikel anti-matter bukanlah proses yang mudah dan boleh dilakukan dalam ruang yang kecil seperti VHECM. Namun, bagi memikirkan senjata super yang ideal bukannya kerja yang mudah. 

Pac melukis latar belakang tanpa bantuan pembaris; semuanya dengan tangan kosong


Pesanan

Akhir kata, melukis komik bukan kerja mudah. Banyak perkara yang perlu diambil kira dari sekecil-kecil hal sekalipun. Memilih jalan untuk melukis komik, memerlukan ketabahan yang luar biasa. Ya, ada orang di luar sana menyangka melukis komik menyeronokkan dan boleh memberikan keuntungan yang banyak. Tidak semestinya. 


Secara jujurnya, nasib memainkan peranan yang penting dalam hal ni. Ada juga orang bekerja keras untuk berjaya dalam bidang ni, contohnya dengan berkolaborasi, berkarya untuk komik luar negara, dan lain-lain.

Akhir kata, majulah komik untuk negara.

Berkenaan Penulis

Pac adalah seorang pelukis komik dan ilustrasi sepenuh masa. Antara karya popular beliau adalah siri novel grafik berjudul TwinX, iaitu sebuah komik aksi bertemakan sains fiksyen. Alamat blog beliau adalah http://pacuniverse.blogspot.com



Monday, October 1, 2012

Sudah bermula! Pencarian Bakat Baru Komik-M!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sudah bermula! Sudah bermula! 

Komik-M Cari Bakat! Sebuah pertandingan melukis komik yang dianjurkan oleh PTS Media Groups. Pertandingan ini terbuka hanya kepada para pelajar sekolah.

Di bawah ini adalah posternya: 


Ayuh, jangan lepaskan peluang! Hadiahnya menarik! Peluang yang menanti para pemenang lebih menarik! Kemungkinan besar pemenang berpeluang menerbitkan sebuah komik solo dengan Komik-M. Mana tahu. Hehe!

Sekali lagi, jangan lepaskan peluang. Tarikh tutup penyertaan adalah 31 Disember 2012. Bermakna, bermula hari ini, ada 3 bulan penuh sebelum tarikh tutup. Tiga bulan untuk menghasilkan komik 6 muka surat adalah terlalu banyak masanya. Nasihat saya, gunakan masa yang ada dengan bijak. Ini cadangan saya:

Bulan pertama: Berlatih melukis komik
Bulan kedua: Mencari idea dan menulis cerita
Bulan ketiga: Mula melukis komik hingga siap keenam-enam muka surat 

Mula gerakkan pensel sekarang! Ini masanya untuk anda tunjukkan bakat anda kepada semua!

SELAMAT BERJAYA!

Wassalam.


Wednesday, September 19, 2012

Sekolah Bukan Penghalang!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya seringkali terdengar keluhan sebegini daripada ramai pelukis muda yang masih bersekolah:
1. Saya tidak boleh melukis disebabkan sekolah.
2. Saya mahu terbitkan komik, tetapi hanya selepas tamat sekolah.
3. Kerja sekolah terlalu banyak! Saya tidak dapat melukis.
4. Akhir tahun nanti ada peperiksaan besar. Saya perlu berhenti melukis komik dan tumpukan perhatian kepada pelajaran.

Maaf, saya kurang gemar mendengar alasan-alasan sebegini. Ya, sekolah adalah penting, tetapi cita-cita dan impian juga tidak kurang penting. Tidak perlu korbankan mana-mana. Pastikan kedua-duanya bergerak seiring.

Pelukis yang memberikan alasan sekolah sebagai penghalang, apabila dia sudah tamat sekolah dan memasuki kolej ataupun universiti, dia akan memberikan alasan baru; kolej pula yang menghalangnya melukis. Kononnya terlalu banyak tugasan perlu disiapkan, banyak subjek perlu diulangkaji dan lain-lain.

Apabila dia sudah tamat pengajian dan bekerja, satu lagi alasan timbul; kerja menghalangnya daripada melukis. Hingga apabila dia sudah berusia dan tidak lagi memiliki kemampuan untuk melukis, barulah dia menyesal kerana memberikan terlalu banyak alasan dalam berimpian.

Satu alasan akan melahirkan alasan baru. Nasihat saya, berhenti beralasan dan mula melukis sekarang. Hentikan rantaian alasan dan teruskan berwawasan.

Jadikan sekolah sebagai cabaran dan bukannya halangan. Be a man!

Ada orang sudah buktikan, sekolah bukannya penghalang. Ada orang sudah buktikan, usia bukan halangan untuk menerbitkan komik. Ada orang sudah buktikan, mengejar cita-cita dan impian tidak menghalangnya daripada menjadi pelajar cemerlang. Dan orang ini berjaya membuktikan semua itu kerana tidak pernah sekalipun dia memberikan alasan.

Ada impian? Mula mengejarnya dari sekarang!

Wassalam.

Saturday, September 15, 2012

Di kaca TV akhirnya!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Afiq dan Nazry akhirnya berjaya membuat penampilan sulung di kaca TV! Alhamdulillah! v(^^,)v

Al-kisahnya, kami bersiaran secara langsung dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9 pada pukul 9 pagi, hari Jumaat bersamaan 14 September 2012. Anda boleh menonton rakamannya menerusi tonton.com.my.

Di sini, ada beberapa snapshot yang memaparkan aksi kami di kaca TV. Heee!


Afiq sedang membuat demo

Afiq & Nazry di kaca TV

Nazry sedang berceloteh

Harapan kami, lebih ramai orang di luar sana akan mengenali komik-komik kami. Kepada yang sempat menonton, tahniah dan terima kasih!

Sekian, wassalam.

Friday, August 31, 2012

Internet

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam lebaran kepada para pembaca blog ini! Diharapkan raya tahun ini lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Semoga kita disampaikan kepada Ramadan dan Syawal pada tahun akan datang, amin....

Internet.

Ciptaan manusia paling signifikan dalam sejarah peradaban manusia.

Ia mampu menghubungkan insan-insan yang terpisah oleh batasan ruang dan waktu. Ia juga mampu menyalurkan pelbagai informasi dan ilmu dengan hanya satu klik. Akhir sekali, ia mempermudahkan sebegitu banyak urusan manusia, lebih-lebih lagi yang melibatkan komunikasi.

Pelukis dan penulis adalah antara manusia yang mendapat manfaat besar daripada penciptaan Internet.

Mahu dengar beberapa fakta menarik?


  • Saya dan Afiq tidak pernah berjumpa tuan editor Komik-M, hingga selepas komik Aviasi Fantasi #1 terbit.
  • Sepanjang proses penghasilan komik Misi 10A Plus, saya dan Afiq tidak pernah bertemu.
  • Sekarang ini, saya (Nazry) sedang terlibat dalam dua projek komik bersama-sama dua orang pelukis baru yang berbakat besar - seorang di Melaka, seorang lagi di Sabah. Projek sedang berjalan tanpa kami bersemuka.
Internet memungkinkan kerjasama tanpa keperluan bertemu muka. Komik, novel dan novel grafik; semua itu boleh dihasilkan secara bekerjasama tanpa perlu pelukis dan penulisnya berjumpa. 

Oleh itu, gunakan kemudahan yang ada bagi bersinergi. Kerjasama mampu menghasilkan sesuatu yang hebat, lebih hebat daripada hasil kerja sendirian. 

Anda seorang penulis? Mahu buat komik tetapi tidak mampu melukis dengan baik? Cari sahaja pelukis yang bersesuaian di Facebook ataupun DeviantArt.

Anda seorang pelukis? Mahu buat komik tetapi tiada idea? Cari sahaja penulis di laman-laman yang sama.

Talian Internet dicipta bukannya semata-mata untuk permainan online, ya. He he!

Sekian sahaja. 

Wassalam.

Thursday, August 23, 2012

Menjadi Pelukis Komik Sepenuh Masa (oleh Reja)



Menjadi pelukis komik sepenuh masa kedengaran menyeronokkan. Namun, apakah cabaran-cabarannya? Kali ini, saya menjemput Tuan Reja bagi berkongsi pengalaman beliau menjadi pelukis komik sepenuh masa.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


 Terima kasih kepada Tuan Nazry yang kacak bergaya (hehe!) kerana menjemput saya bagi berkongsi serba sedikit pengalaman saya berkecimpung dalam bidang komik.





Pembabitan Dalam Bidang Komik

Bagi menceritakan bagaimana saya mula terjebak (seperti negatif sahaja bunyinya, hehe!), okay, terbabit dalam bidang komik, sudah banyak kali saya ceritakan sebenarnya. Dalam surat khabar Berita Harian dan juga di TV9. Ceritanya panjang tetapi saya berikan sinopsis sahajalah, ya. Hehehe!

Saya minat melukis sejak sekolah rendah. Habis semua buku sekolah saya conteng. Oleh kerana saya suka sangat komik Dragon Ball, saya hanya melukis watak Son Goku. Hahaha! Minat ini berterusan hingga sekolah menengah. Pada waktu itu, saya belum melukis komik, hanya menconteng-conteng.

Saya mula melukis komik pertama saya semasa menuntut di matrikulasi pada tahun 2003. Waktu itu, saya melukis komik satu muka untuk majalah matrikulasi. Kemudian, saya terbaca pula berkenaan peraduan bakat baru komik Malaysia anjuran Gempakstarz pada tahun itu. Saya mencuba nasib dalam peraduan itu setiap tahun. Tetapi, tidak pernah terpilih sebagai finalis. Selepas saya memasuki universiti, minat melukis masih utuh. Namun, masih lagi sekadar menconteng-conteng. Melukis komik pula demi peraduan bakat baru komik Malaysia.

Pada tahun 2006, salah satu majalah MOY iaitu Blues Selamanya (sekarang sudah tiada) ada menganjurkan slot Akademi Blues iaitu ruang untuk pelukis baru menghantar karya. Saya hantar satu penyertaan. Alhamdulillah, selepas berbulan-bulan menyemak majalah itu, akhirnya komik saya diterbitkan. Tidak ingat isu keberapa. Mungkin antara isu 90 hingga 100. Sekiranya ada sesiapa masih menyimpan majalah Blues Selamanya, bolehlah semak. Tajuk komik pula tidak ingat, tetapi waktu itu saya gunakan nama pena YLRAZER (ini nama saya dieja terbalik, tidak tahu mahu letak nama pena apa masa itu, hahaha!). 

Hah! Baru saya ingat. Tajuk komik itu adalah Air Hikmat.

Selepas komik saya terbit dalam Blues Selamanya, saya cuba menghantar lagi. Tetapi, terus senyap membisu tanpa khabar. Waktu itu, Jon Suraya (pelukis komik Amylea) menguasai slot Akademi Blues.

Pada  tahun 2008, nasib saya berubah. Sepupu saya memperkenalkan saya kepada Kartunis Umbut. Sejak itu, semuanya berubah. Abang Umbut memperkenalkan saya kepada Komik-M. Nasib baiklah pada masa itu, saya ada perancangan bagi melukis satu komik panjang. Terus saya berikan proposal kepada tuan editor, dan syukur, proposal lulus!

Saya siapkan komik Shootz! jilid 1, yang mana waktu itu juga saya sedang bertungkus-lumus menyiapkan projek akhir sarjana muda. Pada hujung tahun itu, terbitlah komik Shootz! #1. Sejak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang. Saya terus melukis sambungannya.

Kemudian, saya ditawarkan melukis komik bagi novel Young Aisyah pada awal tahun 2009. Alhamdulillah, novel Young Aisyah meletup (meletup ke? Haha!). Selain itu, saya juga diberi tugas melukis ilustrasi bagi beberapa novel PTS seperti Homestay Bayu, Abang, Adik dan Ayam, Siri Geng Genius, Coklat Ataupun Strawberry dan juga melukis ilustrasi cover novel Hani.com. Dari situ, saya terus mengorak langkah menjadi pelukis komik sepenuh masa hingga kini.

Selain melukis komik untuk Komik-M, saya juga pernah melukis beberapa komik lain. Contohnya, siri komik untuk majalah Pendidik terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sayangnya, siri komik itu sudah dihentikan.

Sekarang, setiap bulan, saya melukis untuk sebuah majalah komik online bertajuk My E-Comic.

Jadual Bekerja

Secara asasnya, waktu kerja saya bolehlah dikatakan seperti orang yang bekerja di pejabat. Dari pagi sampai petang. Kadang-kala overtime hingga malam. Tetapi, saya berasa bebas bekerja sendiri. Tiada bos yang mengarah ataupun marah, menengking-nengking menyuruh saya bekerja.

Cuma, menjadi lumrah bekerja sendiri, apabila tidak melukis, tiadalah wang masuk. Jadi, bagi mendapatkan wang, peraturan melukis mengikut mood perlu diketepikan. Saya perlu melukis tidak kira waktu. Sama ada semasa sedang demam ataupun bercuti, saya perlu melukis. Bolehlah dikatakan, bos saya adalah Encik Wang. Jadi, saya perlu bekerja keras supaya duit terus masuk seperti arus sungai yang mengalir deras. Hahahaha!

Pendapatan

Pendapatan saya waktu ini, alhamdulillah. Cukup bagi membayar bil-bil utiliti rumah. Selain itu, saya juga mampu membeli beberapa gajet idaman seperti laptop, tablet melukis berjenama Wacom Bamboo dan telefon pintar. Hahaha!

Secara jujurnya, penyumbang utama kepada pendapatan saya adalah royalti daripada jualan novel Young Aisyah. Alhamdulillah, dan terima kasih kepada para penyokong novel Young Aisyah. Sekiranya hanya mengharapkan royalti jualan Komik-M semata-mata, memang susah. Melainkan selepas Komik-M mendapat sokongan penuh padu dan jitu daripada peminat komik Malaysia sekalian.

Tidak mustahil pekomik Komik-M mampu hidup hanya dengan royalti jualan Komik-M. Jadi, sekiranya mahu kami terus terbitkan komik di Komik-M, sokonglah Komik-M dengan membeli komik-komik kami.

Nasihat Kepada Pelukis Muda 

Akhir sekali, nasihat saya kepada pekomik-pekomik muda, jangan mengalah dan teruskan dengan minat anda. Juga, anda perlu terus menimba ilmu komik bagi memantapkan skil komik dari semua segi, tidak kira dari segi kualiti lukisan mahupun mutu cerita yang semestinya perlu mantap. Saya juga masih dalam proses pembelajaran bagi memantapkan kemahiran saya.

Jangan fikir diri sendiri sudah cukup bagus. Pada mata anda sahaja nampak bagus, tetapi pada mata pelukis profesional, kemahiran anda masih pada tahap hingusan. Jadi, teruskan menimba ilmu. Sekiranya anda bercita-cita mahu menjadi pelukis komik sepenuh masa, ada satu formula rahsia yang perlu anda tahu:

“MINAT dicampur KERJA KERAS didarab dengan TIDAK PUTUS ASA pasti menghasilkan KEJAYAAN.”

Sekian sahaja, terima kasih. Jumpa lagi. Bye bye! Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Berkenaan Penulis

Reja bekerja sebagai pelukis sepenuh masa. Beliau giat menghasilkan komik panjang, komik antologi, komik semuka, ilustrasi dan kaver novel. Antara karya-karya popular beliau adalah siri komik Shootz! dan siri nomik Young Aisyah (bersama-sama Saridah Hamid). Alamat blog beliau adalah http://rejakartun.blogspot.com/

      


Monday, August 20, 2012

Perkongsian Ilmu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selamat hari raya aidilfitri dan salam lebaran! Maaf diucapkan sekiranya ada terkasar bahasa dan tersalah bicara. Sempena bulan baik dan hari baik ini, marilah kita bermaaf-maafan. (^_^)

Sudah agak lama saya menyepi, bukan? Tidak lagi berkongsi cerita berkenaan komik sama ada di sini mahupun di Facebook.

Atas sebab-sebab tertentu, saya sengaja mengekang diri daripada berbuat begitu. Saya tidak lagi mahu dilabel sebagai seseorang yang menunjuk-nunjuk pandai. Sudah muak diri ini dituduh sombong, bongkak, angkuh dan semua jenis perkataan seerti. Tindakan ini diharap dapat menjadikan saya seseorang yang lebih baik.

Akan tetapi, itu tidak bermaksud saya tidak lagi mahu berkongsi ilmu berkenaan komik. Tidak, tidak. Saya bukanlah kedekut ilmu. Cuma, saya hanya akan berkongsi ilmu kepada mereka yang benar-benar serius dan mahu berjaya dalam bidang komik. Yang melukis komik secara suka-suka dan menganggap komik tidak lebih dari hobi, tidak termasuk dalam senarai. Hehe!

Sekiranya berminat untuk belajar ilmu komik, ada beberapa saluran boleh digunakan:

1. Personal Coaching
Bagi mereka yang mahu menuntut ilmu komik secara persendirian daripada saya (Nazry), hubungi saya menerusi emel (nazrysalam@hotmail.com) ataupun FB. Tempatnya di sekitar Kajang. Masa ditentukan oleh anda sendiri. Bayaran pula berdasarkan jam. Dalam sesi ini, saya akan ceritakan semua teknik, tip dan rahsia berkenaan penerbitan komik.

2. Kelas Melukis Komik
Ini pula kursus padat yang diadakan dalam masa satu hari. Bayarannya RM70-RM90. Bilangan maksimum peserta adalah 10 orang. Insya-Allah, rancangan saya adalah mengadakan kelas ini setiap 2-3 bulan. Bergantung kepada keadaan.

3. E-book
Dalam masa terdekat, saya akan menjual e-book berkenaan menulis, melukis dan menerbitkan komik. Sangat berguna kepada pelukis yang baru berjinak-jinak dalam bidang komik. Harga satu buku mungkin RM15-20.

Akhir kata....

Silap besar sekiranya anda menyangka cara menerbitkan komik hanya dengan membuat proposal dan menghantarnya kepada penerbit. Tidak semudah itu. Namun, dengan sedikit ilmu, insya-Allah perkara akan menjadi lebih mudah dan jelas.

Satu lagi, semata-mata membaca (ataupun kononnya mengkaji) komik tidak akan membuatkan anda jadi pakar dalam melukis komik. Walaupun anda tonton larian Usain Bolt sejuta kali pun, tidak mungkin anda mampu berlari sepantas dia. Setuju? :)

Alang-alang melukis komik, biar sampai terbit!

Sekian sahaja.

Wassalam.

Thursday, May 24, 2012

Angan-angan Adalah Percuma dan Seronok!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Baru-baru ini, muncul satu angan-angan dalam minda saya.

Sekiranya saya jutawan, saya akan gunakan sebahagian daripada harta saya untuk hasilkan satu cabaran. Jeng, jeng, jeng! Cabaran apakah itu?

Saya menamakan cabaran ini, Malaysian Comic Ultimate Challenge!

Begini....

10 orang pelukis akan dipilih menerusi saringan. Tiada had usia, asalkan mampu melukis komik dengan baik.

10 pelukis terpilih akan diberikan RM10,000 setiap bulan, dan mereka perlu lukis komik sebanyak 15 halaman setiap minggu. Semua komik mereka akan diterbitkan dalam majalah komik mingguan. Dalam majalah komik itu juga, ada borang undian bagi membolehkan para pembaca memilih 3 komik terbaik. Menerusi undian para pembaca,  satu ranking akan dikeluarkan.

Komik yang mendapat banyak undian akan berada pada kedudukan yang tinggi, manakala komik yang mendapat sedikit undian akan berada pada kedudukan bawah.

Mudah kata, cabaran ini sama seperti sistem penerbitan komik di Jepun! :))

Bezanya, cabaran ini diadakan selama 10 bulan sahaja (40 minggu). Pelukis yang berada pada kedudukan terakhir dalam ranking selama 3 minggu berturut-turut akan digantikan dengan pelukis lain (selain 10 pelukis yang terpilih, ada 10 pelukis lagi yang menjadi barisan pengganti).

Dengan RM10,000 sebulan, setiap pelukis mampu mengambil beberapa orang pembantu (Gaji seorang pembantu RM1500-RM2000).

Pada akhir cabaran, setiap pelukis yang berjaya hingga minggu terakhir akan menghasilkan 600 halaman, ataupun 5 novel grafik setebal 120 halaman. Dalam cabaran ini tiada menang tiada kalah. Sebab itulah ia dinamakan cabaran dan bukannya pertandingan.

Matlamat cabaran ini adalah menghasilkan komik buatan anak tempatan yang bertaraf dunia.

Wah! Seronok, bukan? Saya yakin, dengan sistem sebegini, semua pelukis yang terlibat akan berusaha menghasilkan komik yang terbaik! Mungkin boleh tandingi komik-komik popular dari Jepun dan USA.

Saya berharap saya dikurniakan rezeki bagi merealisasikan impian ini. (^_^)

Okey! 20 pelukis (10 yang utama dan 10 pengganti) yang saya bayangkan terpilih bagi menyertai cabaran ini adalah:

1. Nazry & Afiq
2. Nizam Pac
3. Ahmad Ezaddin
4. Reja
5. Ben
6. Zint
7. Irfan Foner
8. Lambok
9. Ajif
10. Kutu
11. Aie
12. Keith
13. Froggypapa
14. Bophairy
15. Oren
16. Tembakau
17. Puppeteer
18. Kromosom
19. Rambai
20. Zamzami

Okey, tamat masa berangan-angan. Masa untuk kembali bekerja! xD

Wassalam.

Tuesday, May 22, 2012

Kelas Melukis Komik

UPDATE!
=========================================================

Alhamdulillah, Kelas Melukis Komik batch pertama sudah selesai dengan jayanya!

Kini, penyertaan sedang dibuka untuk batch ke-2! 

Kepada yang berminat, mohon daftarkan diri di sini: http://feeqry.blogspot.com/p/kelas-melukis-komik.html

Sekian sahaja, terima kasih!

=========================================================

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya (Nazry) ada rancangan untuk mengadakan bengkel menghasilkan komik. Insya-Allah, kemungkinan ia akan diadakan di sekitar Kajang.

Yuran? Tidak mahal, insya-Allah. Mungkin sekitar RM50 - RM100.

Bengkel ini mungkin diadakan sehari sahaja (crash course), dari jam 9 pagi hingga 5 petang, pada hujung minggu.

Jadi, ada sesiapa berminat?

Sekiranya ada sekurang-kurangnya 10 orang yang berminat, insya-Allah saya akan jalankan rancangan ini.
Sesiapa yang berminat mohon nyatakan di bahagian komen, ya.

Antara intipati bengkel ini adalah:

1. Cara mendapatkan idea
2. Cara menulis komik
3. Asas melukis komik
4. Perkongsian pengalaman
5. Kriteria buku-buku bestseller
6. Peluang-peluang berkarya
7. Rahsia kejayaan komik-komik Jepun
8. Komunikasi dengan editor dan banyak lagi!

Saya buka peluang ini hingga 27 Mei 2012. Sekiranya pada tarikh itu, jumlah mereka yang berminat kurang daripada 10, saya akan batalkan sahaja rancangan ini. Haha! :)

Terima kasih! Wassalam. :)

Monday, May 21, 2012

Soal Jawab Berkenaan Isu Stail Lukisan


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Baru-baru ini saya terperasan, isu berkenaan stail lukisan dalam komik sudah kembali hangat.

Stail komik Manga vs. stail komik Malaysia.

Mungkin musimnya sudah datang semula.

Okey, bagi sesiapa yang tidak tahu-menahu berkenaan isu ini, biarlah saya jelaskan dengan teliti.

Stail Manga: Stail lukisan yang berasal daripada Jepun. Stail sebegini sering dilihat dalam komik-komik buatan Jepun, seperti komik Naruto, One Piece dan Bleach. Dikatakan pelopor kepada stail Manga adalah Osamu Tezuka, iaitu bapa komik Jepun.

Stail Malaysia: Stail lukisan yang berasal daripada Malaysia. Stail sebegini boleh dilihat dalam majalah-majalah komik buatan Malaysia seperti Ujang, APO? dan Gila-Gila. Stail Malaysia ada banyak variasinya, tetapi antara ciri paling ketara adalah wataknya berhidung kembang dan gigi terkeluar.

Isu: Ada segelintir manusia kerap menempelak/memandang rendah/mengejek pelukis yang menggunakan stail Manga. Manusia-manusia itu mendakwa, pelukis yang menggunakan stail Manga tiada jati diri dan terikut-ikut stail luar. (Yang super peliknya, pelukis yang menggunakan stail komik US tidak diperkatakan apa-apa pula, malah dipuji dan dipuja, walhal stail US juga stail luar).

Okey, sekarang saya akan menjawab persoalan yang sering dilontarkan oleh 'pejuang' stail komik Malaysia kepada pelukis stail komik Manga:

***


Soalan: Mengapa gunakan stail Manga? Mengapa tidak gunakan stail Malaysia?

Jawapan: Sebab saya lebih sukakan stail Manga berbanding stail Malaysia. Sebagai pelukis, saya ada hak bagi memilih stail lukisan, medium dan genre komik saya sendiri. Malah, komik berstail Manga adalah sumber inspirasi saya semasa melukis komik. Sebab itulah saya gunakan stail Manga.

Bertanya soalan begini kepada pelukis, sama seperti bertanya soalan ini kepada pembeli kereta: Mengapa beli kereta BMW, mengapa tidak kereta Proton Preve?

Suka hati dialah mahu beli apa. Dia membeli dengan wang dia sendiri.

Sebagai pelukis, saya juga begitu. Saya melukis dengan tenaga dan alatan melukis saya sendiri. Suka hati sayalah mahu gunakan stail apa-apa pun.

***

Soalan: Mengapa sekarang semakin ramai pelukis tempatan gunakan stail Manga? Disebabkan mereka inilah, stail Malaysia semakin terpinggir.

Jawapan: Mudah sahaja. Zaman sudah berubah. Begitu juga cita rasa pelukis dan pembaca komik. Zaman kegemilangan komik-komik stail Malaysia sudah berlalu. Tidak perlu nafikan, sekarang adalah zaman kegemilangan komik berstail Manga.

Anggap sahaja komik seperti fesyen. Saya yakin anda yang bertanya soalan ini, sedang memakai seluar jean (sekiranya lelaki) dan bukannya seluar bell-bottom.

Malah, komik berstail Malaysia tidak terpinggir pun. Sekiranya mahu baca komik sebegitu, beli sahajalah majalah komik Ujang, APO? dan Gila-Gila. Semua majalah komik itu masih ada di pasaran.

Bagi saya, jumlah pembaca komik stail Malaysia tidak berkurang, tetapi jumlah pembaca komik stail Manga yang bertambah dengan pesat. Ini satu hakikat yang perlu ditelan meskipun pahit.

***

Soalan: Sebagai seorang pelukis tempatan, tidak malukah gunakan stail Manga? Di mana jati diri kamu? Di mana???

Jawapan: Tiada sebab untuk saya malu. Malah, saya yakin saya seorang yang kuat jati diri.

Manga hanya stail lukisan. Dalam komik-komik saya, nama watak, cara hidup watak, latar belakang, pakaian, semuanya bercirikan Malaysia. Dalam komik-komik saya, ada adegan watak utama makan nasi lemak, ada adegan solat berjemaah di masjid, sesekali watak utama memakai baju Melayu, watak-watak perempuan memakai tudung, ada adegan puasa, raya dan sebagainya.

Tiada jati diri? Anda pasti?

***

Soalan (lebih kepada kenyataan sebenarnya): Banyak komik sekarang menggunakan stail Manga. Membosankan dan tidak best!

Jawapan: Saya mahu tanya semula. Sudah cuba baca komik-komik itu? Ataupun anda sekadar membelek komik-komik itu dan letak semula, kemudian mengatakan yang semua komik itu 'membosankan dan tidak best' semata-mata kerana ia menggunakan stail Manga?

Belum baca pun, sudah tahu ia membosankan dan tidak best?

Heibat!

***

Soalan: Adakah anda akan berbangga sekiranya anda berjaya dengan stail komik Manga di Malaysia?

Jawapan: Ya, saya sangat berbangga!

***

Itu sahaja setakat ini. Insya-Allah, saya akan update lagi entri ini sekiranya saya terjumpa soalan-soalan baru.

Sebelum bersurai, saya ada satu nasihat kepada orang-orang yang tidak habis-habis mempertikaikan stail komik orang lain:

Sekiranya tidak berpuas hati melihat stail lukisan yang anda suka kian pupus, saya cabar anda untuk masuk ke dalam industri komik dan perjuangkan stail yang anda gemari. Angkat pen dan berjuang! Berhentilah menjadi pengkritik tetap yang tidak habis-habis memperlekehkan usaha orang lain!


Be a man and get in the war!


Wassalam.

Saturday, May 12, 2012

Ada Apa Dengan Angka? :)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, sudah seminggu sejak pesta buku antarabangsa menutup tirai.

Syukur, saya (Nazry) berpeluang menjejakkan kaki di sana sebanyak 3 kali. Sepanjang berada di sana, saya gembira sekali. Lebih-lebih apabila melihat pengunjung membeli hasil karya kami. Rasa riang dalam hati hanya Allah yang tahu. Seronok tidak terkata! :)

Alhamdulillah, komik Misi 10A Plus sempat diterbitkan semasa pesta buku.



Mereka yang sudah membeli komik ini boleh dianggap sebagai antara pembaca terawal, kerana komik ini belum lagi tiba di kedai-kedai buku. Mungkin dalam seminggu dua lagi. Jadi, kepada mereka yang belum memiliki komik Misi 10A Plus, harap dapat bersabar, ya! :)

Baru-baru ini, PTS mengeluarkan senarai 200 judul buku paling laku dalam pesta buku baru-baru ini. Senarai itu disusun mengikut jumlah unit yang terjual.

Alhamdulillah, lima hasil karya Afiq dan Nazry tersenarai.

4. Misi 10A Plus (hampir 1000 naskhah terjual)
17. Misi 10A
27. Misi 8A
79. Komika: Ada Apa Dengan Komik? (Novel)
110. Ali & Tuah: Sarang Empat Penjahat

Apa yang mengejutkan saya, komik Misi 8A sudah dua tahun terbit, namun ia berada pada kedudukan yang agak tinggi (27). Begitu juga komik Misi 10A yang sudah setahun terbit.

Alhamdulillah, syukur.

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang sudi membeli dan membaca hasil karya kami! Semoga buku-buku yang kami hasilkan dapat berikan banyak manfaat. :)

Saya sangat gembira sekiranya hasil karya kami terjual banyak. Oh, oh! Adakah ini bermakna saya penggila wang? Adakah ini bermakna saya berkarya demi royalti?

Tidak sama sekali tidak. Nehi.

Semakin banyak komik terjual, semakin banyak royalti yang kami dapat. Ya, ini adalah fakta. Tetapi, saya tidak melihat dari sudut itu (ada juga sebenarnya, tetapi sekali-sekala sahaja).

Sudut pandang saya adalah, semakin banyak komik terjual, semakin ramai orang membaca karya kami. Semakin ramai juga orang boleh mendapat manfaat daripada karya kami, insya-Allah.

Kebanyakan pengkarya mahu orang ramai melihat hasil karya mereka. Sebab itulah mereka berkarya. Mereka mahu dilihat oleh semua orang, kalau boleh, mereka mahu dilihat oleh setiap pasang mata yang ada di atas muka bumi. Memang itulah fitrah manusia yang bergelar seniman, artis, pelukis, penulis dan sebagainya.

Saya juga begitu. Kalau boleh, saya mahu semua pelajar di Malaysia membaca siri komik Misi. Semua. Itulah matlamat saya. Saya akan berusaha menggapai matlamat itu, bersama-sama Afiq. :)

Semoga dipermudahkan, amin....

Wassalam.

Tuesday, May 8, 2012

Contoh Proposal Komik (Komik-M)


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


"Bagaimanakah caranya menghasilkan proposal komik?"


Saya selalu menerima pertanyaan ini daripada pelukis-pelukis komik muda yang mahu berkarya dengan Komik-M.

Dan inilah jawapan yang selalu saya berikan kepada mereka:

Dalam sebuah proposal yang baik, perlu ada perkara-perkara berikut:
  1. Sinopsis cerita yang lengkap - Ringkasan cerita bagi komik yang akan dilukis
  2. Rekaan watak-watak utama - Lukis beberapa watak utama dan sertakan biodata mereka 
  3. Rekaan setting/latar belakang (Optional) - Lukis ataupun lakar konsep latar belakang 
  4. Biodata pelukis/penulis (Tidak perlu sekiranya dikenali editor) - Perkenalkan diri kepada editor
  5. Sampel komik yang final sebanyak beberapa halaman - Sebagai bukti kemampuan menghasilkan komik

Untuk lebih memudahkan, di bawah ini adalah contoh proposal komik yang boleh dijadikan panduan.



Contoh Proposal Komik

Tajuk: Misi Empat Komikus (Komik Antologi Aku, Kau & Komik #2)
Pelukis: Afiq
Penulis: Nazry








Sesudah siap kesemuanya, zip fail-fail berkaitan dan emelkan kepada:

komik-m(at)pts.com.my (gantikan "(at)" dengan "@"). 



Nota: Proposal komik adalah seperti borang permohonan bagi menerbitkan komik dengan Komik-M. Orang yang akan menentukan samada permohonan ditolak ataupun diterima adalah editor-editor Komik-M. Keputusan mereka adalah muktamad. Sekiranya ditolak, janganlah simpan dalam hati ataupun berputus asa. Teruskan berlatih melukis dan kemudian cuba lagi. Jangan berhenti mencuba sehinggalah permohonan diterima.



Sekian, selamat berjaya! :)


Wassalam.