Monday, November 5, 2012

Revolusi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya yakin, ramai pelukis komik di luar sana memasang pelbagai cita-cita dan impian.

Ada yang mahu menjadi pelukis komik profesional ataupun sepenuh masa, ada yang mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap komik, dan tidak kurang juga, ada yang mahu mencipta revolusi dalam industri komik.

Saya dan Afiq memulakan karier dalam bidang komik dengan impian sedemikian rupa. Alhamdulillah, kini kami berjaya menerbitkan 6 buah novel grafik, dan insya-Allah, jumlah itu tidak akan berhenti di situ.

Tujuan saya menulis entri ini adalah bagi berkongsi pandangan yang tersintesis daripada pengalaman, pengetahuan, dan pengamatan sepanjang menjadi penulis komik.

Sekiranya mahu menjadi pelukis komik profesional, perlu terbitkan komik.
Sekiranya mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap komik, perlu terbitkan komik.
Tentu sekali, sekiranya mahu mencipta revolusi dalam industri komik tempatan, perlu terbitkan komik.

Penerbitan yang saya maksudkan adalah penerbitan komersil. Iaitu, komik diterbitkan dalam bentuk buku fizikal oleh syarikat penerbitan yang sah, dan komik itu diedarkan ke seluruh negara.

Penerbitan komik indie, amatur, percuma, dan seumpama dengannya, tidak akan mampu mengubah pandangan masyarakat terhadap komik, apatah lagi mencipta revolusi. Sumbangan komik-komik indie dalam industri komik tempatan adalah kurang signifikan berbanding komik-komik yang dicetak dan diedarkan oleh syarikat penerbitan. Ini satu hakikat yang memeritkan bagi sesetengah pekomik.

Bagi mereka yang menganggap melukis komik sebagai hobi pada masa lapang, dan mungkin kerjaya sambilan, penerbitan indie adalah medan yang sesuai.

Bagi mereka yang mahu menjadi pelukis komik sepenuh masa, mahu membawa perubahan, dan mahu mencipta revolusi dalam industri komik tempatan, penerbitan buku komik secara komersil adalah jalan yang perlu dilalui. Bukannya penerbitan di Facebook ataupun laman sosial lain.

Mereka yang mahu mencipta revolusi dalam industri komik, tetapi masih bergelumang dalam dunia penerbitan indie, tidak ubah seperti seorang askar yang hanya menyaksikan peperangan tanpa kemampuan menyertainya.

Mahu cipta revolusi komik? Mahu memperbetulkan tanggapan masyarakat terhadap medium komik? Mahu menaikkan taraf komik tempatan ke persada antarabangsa?

Satu sahaja caranya. Terbitkan komik!

Wassalam.

5 comments:

  1. InshaAllah saya jadikan tulisan tuan sebagai cabaran agar saya buktikan penerbitan komik dakwah percuma yang saya hasilkan di internet akan mencapai revolusi bukan saja pandangan masyarakat terhadap komik, tapi lebih dari itu, revolusi idea yang diketengahkan oleh komik dakwah percuma untuk masyarakat revolusikan politik, ekonomi, sosial dan pendidikan menuju sebuah tamadun yang mengangkat Islam setingginya!

    Ini azam dan tekad saya hari ini yang menguatkan lagi azam dan tekad yang dahulu. Saya akan buktikan yang revolusi boleh berlaku oleh komik yang terbit percuma di laman sosial mahupun apa saja laman di internet.

    yang benar,
    saya, muhammad fakhrul razi a.k.a mfr studio
    http://mfrstudio.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. With due respect, saya ada beberapa soalan:
    1. Apakah tanggapan masyarakat tentang komik salah hingga kita terpaksa membetulkannya? Bagaimana yang betul dan bagaimana yang salah?

    2. Apakah revolusi komik? Adakah dengan mengubah semua style yang ada ke arah manga sebab saya sedang melihat perkara itu berlaku pada komik2 mainstream dimana ia mengikut kehendak pasaran.

    3. Pada pendapat saya, apabila ada komik, dan komik itu dibaca, bagi saya ia telah mengalami putaran lengkap. Tidak kira sama ada ia dijual atau diberi percuma, dalam apa bentuk medium pun. Setujukah jika saya katakan, perubahan medium dari kertas ke online juga satu revolusi?

    Just a friendly questions. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. 1. Jawapannya ada di sekeliling saudara. Cuma, ubah perspektif dan lihat dari kaca mata seorang pelukis komik (bukan animator, pelukis ilustrasi dan sebagainya).

      2. Revolusi berbeza bagi setiap individu. Revolusi saya: Mengurangkan nisbah komik luar kepada komik tempatan dalam pasaran dan minda pembaca.

      3. Terima kasih atas pendapat itu. Perubahan medium adalah transisi normal hasil implikasi perkembangan teknologi. Revolusinya pada perubahan mentaliti pengguna.

      Sekadar maklumat, majoriti pembaca komik lebih gemarkan buku fizikal berbanding ebook/digital/online. Masih sama seperti dahulu.

      Delete
    2. Terima kasih dgn jawapan2 diatas. Saya setuju, new media takkan replace old media.

      Delete