Saturday, April 28, 2012

Kreativiti.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bagaimana sekiranya ada orang mencabar kita untuk buat/hasilkan/bina sesuatu daripada batang mancis? Semata-mata batang mancis. Tidak boleh gunakan bahan lain.

Adakah kita akan melakukannya? Ataupun, adakah kita akan mencipta banyak persoalan dan alasan?

Contoh:
Mengapa batang mancis, mengapa bukan bahan lain yang lebih mudah?
Mengapa terlalu strict? Mengapa tidak boleh gabungkan dengan bahan-bahan lain?
Mengapa mengekang kreativiti dengan menetapkan hanya batang mancis sebagai bahan?

Cuba lihat imej di bawah ini:



Ini adalah replika Jambatan Menara London yang dibina daripada sejuta enam ratus ribu (1,600,000) batang mancis. Semata-mata batang mancis. Orang yang menghasilkannya bernama Michael Williams. Beliau mengambil masa selama 10 tahun bagi menyiapkannya.


Sekarang.... Siapa kata peraturan mengekang kreativiti?


Kreativiti bukannya seperti pisau. Semakin digunakan, semakin tumpul. Kreativiti sifatnya seperti akal. Semakin digunakan, semakin tajam. Jesteru, apabila ada banyak peraturan perlu dipatuhi semasa melakukan sesuatu, kreativiti seseorang akan lebih terasah.

Oleh itu, saya langsung tidak bersetuju kepada kenyataan, peraturan mengekang kreativiti. Sebaliknya, saya berpegang kepada, peraturan mengasah kreativiti.

Satu lagi, apabila sesuatu itu dilakukan dengan peraturan yang ketat, ataupun keterbatasan yang sempit, ataupun kekangan yang banyak, hasilnya adalah sesuatu yang pasti hebat dan lebih bernilai.

Sekiranya ada orang meminta kita hasilkan lukisan daripada debu pada kereta, adakah kita akan melakukannya? Ataupun, adakah kita hanya akan mencipta alasan dan persoalan?

Contoh:
Mengapa debu? Mengapa tidak kertas dan pensel?
Gilakah? Tiada orang yang melukis dengan debu!
Get a life!


Lihat gambar di bawah:



Ini adalah lukisan potret Albert Einstein, yang dihasilkan semata-mata daripada debu pada cermin kereta.

Bandingkan dengan lukisan di bawah ini:


Ini adalah lukisan potret tokoh yang sama tetapi dengan medium berbeza, iaitu pensel dan kertas.

Rasanya, lukisan mana lebih tinggi nilai seninya? Lukisan mana lebih mengagumkan? Saya yakin, 99% pembaca blog ini akan memilih lukisan debu pada cermin kereta.

Ada orang mengatakan Komik-M menetapkan banyak peraturan yang ketat-ketat. Ada yang mengatakan, Komik-M menyekat kreativiti.

Bagi saya, peraturan mengasah kreativiti. Apa yang menyekat kreativiti adalah, kemalasan untuk berfikir dan berimaginasi.

Wassalam. :)

Tuesday, April 24, 2012

Alasan dan Pilihan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ada (ataupun mungkin ramai) orang kata, membaca komik dengan banyak mampu meningkatkan kebolehan melukis komik.

Saya ada soalan.
  • Bolehkah kita belajar berenang dengan hanya melihat orang berenang?
  • Bolehkah kita jadi pemain bola sepak bertaraf antarabangsa dengan hanya menonton perlawanan bola sepak?
  • Bolehkah kita bermain tenis dengan baik selepas melihat Roger Federer bermain tenis?
Jelas sekali, jawapan bagi ketiga-tiga soalan ini adalah TIDAK.

Komik adalah seni. Seni adalah kemahiran. Kemahiran bersifat praktikal dan bukannya teori semata-mata. 

Jadi, bagaimana caranya untuk meningkatkan kemahiran dalam melukis komik?

Jawapannya, dengan melukis komik. Bukannya semata-mata melukis ilustrasi ataupun menconteng. Tetapi, melukis komik. Tidak kisahlah, sama ada komik loose, strip, one-shot, ataupun bersiri. Asalkan, komik. Hanya dengan melukis komik, kemahiran menghasilkan komik dapat dipertingkatkan.

Bukannya dengan membaca 1001 judul komik, kononnya mahu mengkaji ataupun belajar membuat komik. Itu adalah alasan bagi orang yang berangan-angan mahu menjadi pelukis komik, tetapi tidak mahu berusaha dan hanya mahu duduk bersenang-lenang sambil membaca komik online.

Sekiranya mahu jadi perenang yang baik, banyakkan berenang.
Sekiranya mahu jadi pemain bola sepak yang baik, banyakkan bermain bola sepak.
Sekiranya mahu jadi pemain tenis yang baik, banyakkan bermain tenis.
Sekiranya mahu jadi pelukis komik yang baik, banyakkan melukis komik (bukannya banyakkan membaca komik).

Syarat menjadi mangaka adalah menghasilkan manga, bukannya dengan hanya membaca manga Bakuman. 

Bagi mereka yang ada inisiatif, latihan perlu dilakukan dengan cara yang betul, kerana komik yang baik ada keseimbangan antara lukisan dan cerita.

Sekiranya banyak berlatih melukis tetapi tidak berikan penekanan kepada cerita, hasilnya adalah komik yang cantik tetapi membosankan, kosong dan merapu.

Sekiranya banyak berlatih menulis cerita tetapi tidak berlatih melukis, hasilnya adalah komik yang tidak difahami.

Sekiranya banyak berlatih melukis dan menulis cerita, hasilnya adalah komik yang baik, seimbang dan menyeronokkan.

Sekiranya tidak berlatih melukis dan tidak berlatih menulis cerita, tiada hasil.

Pilihan terletak di tangan anda. :)

Wednesday, April 18, 2012

Tanggungjawab.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ada orang kata, keputusan SPM yang cemerlang tidak menjamin masa hadapan yang cerah.

Ya, benar. Kerana TIADA satu perkara pun yang dapat menjamin masa hadapan. Tiada, kerana masa hadapan adalah perkara ghaib yang tidak dapat kita lihat, jangka dan tahu, apatah lagi jamin.

Namun, keputusan SPM yang cemerlang menjamin satu perkara; atitud pelajar.

Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM adalah pelajar yang berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkannya. Pelajar yang cemerlang dalam SPM, boleh diteka atitud mereka; rajin, berdedikasi dan yang paling penting, bertanggungjawab.

Belajar bersungguh-sungguh dengan penuh berdedikasi adalah tanggungjawab pelajar. Begitu juga hadir ke sekolah setiap hari, menyiapkan kerja sekolah, menghormati para guru dan rakan-rakan, dan menyiapkan tugasan. Semua itu tanggungjawab dan amanah.

Kenang kembali bagaimana ibu dan bapa kita bekerja bersusah-payah demi membayar yuran, memberikan wang belanja, belikan buku sekolah dan banyak lagi. Adakah mereka lakukan semua itu hanya supaya kita menjadi pelajar sederhana di sekolah? Tidak siapkan kerja sekolah, ponteng, tidak berikan perhatian dalam kelas, bercinta seolah-olah sudah berkahwin. Adakah demi semua itu?

Tidak.

Mereka mahu kita lakukan yang terbaik di sekolah.

Jangan larikan diri daripada tanggungjawab dengan berkata, sekolah tidak menjamin apa-apa. Jangan larikan diri daripada tanggungjawab dengan berkata, dapat 10A+ pun tidak ke mana.

Ingat, Tuhan melihat pada usaha, bukannya keputusan.

Sasarkan untuk mendapatkan keputusan terbaik, usahakan yang terbaik, dan terima sebarang keputusan yang diperolehi dengan cara yang terbaik, iaitu bersyukur.

Namun, setiap pelajar berbeza kebolehan. Ada yang perlahan, ada yang laju. Sekiranya tidak dapat menjadi pelajar cemerlang, sekurang-kurangnya jadilah pelajar yang bertanggungjawab.

Berhenti memberi alasan. Berhenti menyalahkan sistem pendidikan. Berhenti melakukan sesuatu demi masa hadapan.

Belajar demi tanggungjawab.

Sekiranya seseorang pelajar gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik di sekolah, kemungkinan besar dia juga akan gagal melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja, kelak.

Wassalam.

Tuesday, April 3, 2012

Teaser Misi 10A Plus!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Di sini saya paparkan teaser bagi komik terbaru kami, Misi 10A Plus! xD

Doakan komik ini sempat keluar semasa PBAKL 2012, ya!


Jumpa lagi!

Wassalam.