Sunday, March 4, 2012

Cara Menjana Idea....


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ramai orang bertanya, bagaimana saya dapat idea menulis komik?

Jawapan saya, idea dan ilham datang daripada Allah Taala.

Kemudian orang bertanya lagi, apa usaha yang saya lakukan bagi mendapatkan idea dan ilham?

Jawapan saya, saya banyak membaca (buku), menonton (filem), melihat (sekeliling) dan mendengar (pengalaman orang). Selepas mendapat idea kasar, saya akan duduk diam dan bayangkan cerita dalam kepala (berangan). Kemudian, saya tulis cerita itu dalam bentuk tulisan (novel) ataupun grafik ('name' komik).

Tetapi!

Saya rasa, kebanyakan usaha saya dalam mendapatkan idea datang daripada aktiviti yang saya lakukan pada zaman kanak-kanak.

Ya! Zaman kanak-kanak.

Pasti ada yang tertanya-tanya, apa sebenarnya yang saya lakukan semasa saya kanak-kanak? 

Jawapannya ada dalam imej di bawah:


Idea yang baik hanya mampu dijana oleh akal yang kreatif. Setiap orang ada akal, tetapi tidak semuanya kreatif. Akal yang kreatif adalah akal yang berkembang dengan baik.

Walaupun semua perkara yang saya lakukan dahulu nampak seperti membuang masa, tetapi hakikatnya ia membuatkan akal saya berkembang dengan baik dan bervariasi. Begitu juga mental, emosi dan psikomotor saya.

Alhamdulillah, saya bersyukur saya lahir pada tahun 1984. Saya bersyukur saya menjalani zaman kanak-kanak daripada 1985 hingga 1997. Pada masa internet adalah sesuatu yang mahal. Pada masa definisi sosial adalah komunikasi secara fizikal. Pada masa manusia tidak tahu apa itu Facebook.

Ramai pelukis muda mengadu kepada saya, mereka tiada idea menulis cerita. 

Mahu sahaja saya bertanya kepada mereka:
1. Ada baca buku?
2. Ada tonton filem yang bagus?
3. Ada keluar dari rumah?
4. Ada berbual dengan orang dewasa?
5. Ada lakukan sesuatu yang mengasah minda?

Sebelum mampu menjana idea yang baik, jana dahulu akal kreatif. Caranya tidak mudah, tetapi sekurang-kurangnya langkah pertamanya mudah.

Away daripada komputer dan keluar dari bilik.

Sekian, wassalam.