Saturday, February 9, 2013

Penutupan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kadang-kala, kita tidak terperasan kesalahan diri sepertimana kita sering terlihat kesalahan orang lain. Dan, apabila orang menepuk bahu kita dan menyedarkan akan kesalahan yang dilakukan, barulah mata terbuka luas, namun tekak menelan pahit. Akan tetapi, pahit itu adalah ubat. Perlu ditelan sebelum bertambah parah keadaan.

Tujuan asal saya menulis blog adalah untuk berkongsi ilmu saya yang secetek lopak air hujan. Akan tetapi, apabila jari bergerak pantas menulis perkongsian, kadang-kala terlupa, hati ini boleh dicemari noda hitam lagi menghitamkan.

Lantas, keputusan menutup blog ini adalah sebaik-baiknya. Sepertimana saya membuat keputusan tidak lagi berkongsi ilmu di FB. Kedua-dua tindakan ini bersumberkan harapan yang sama; supaya saya tidak terus-menerus perasan diri ini seorang yang tinggi ilmu.

Jutaan terima kasih kepada lebih 700 pengikut yang mengikuti blog Dunia Feeqry. Anda semua terbaik! Mohon maaf sekiranya terdapat salah kata dan silap bicara sepanjang blog ini aktif. Semoga anda dan saya dirahmati oleh Allah Taala.

Assalamualaikum.

Nazry