Thursday, May 24, 2012

Angan-angan Adalah Percuma dan Seronok!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Baru-baru ini, muncul satu angan-angan dalam minda saya.

Sekiranya saya jutawan, saya akan gunakan sebahagian daripada harta saya untuk hasilkan satu cabaran. Jeng, jeng, jeng! Cabaran apakah itu?

Saya menamakan cabaran ini, Malaysian Comic Ultimate Challenge!

Begini....

10 orang pelukis akan dipilih menerusi saringan. Tiada had usia, asalkan mampu melukis komik dengan baik.

10 pelukis terpilih akan diberikan RM10,000 setiap bulan, dan mereka perlu lukis komik sebanyak 15 halaman setiap minggu. Semua komik mereka akan diterbitkan dalam majalah komik mingguan. Dalam majalah komik itu juga, ada borang undian bagi membolehkan para pembaca memilih 3 komik terbaik. Menerusi undian para pembaca,  satu ranking akan dikeluarkan.

Komik yang mendapat banyak undian akan berada pada kedudukan yang tinggi, manakala komik yang mendapat sedikit undian akan berada pada kedudukan bawah.

Mudah kata, cabaran ini sama seperti sistem penerbitan komik di Jepun! :))

Bezanya, cabaran ini diadakan selama 10 bulan sahaja (40 minggu). Pelukis yang berada pada kedudukan terakhir dalam ranking selama 3 minggu berturut-turut akan digantikan dengan pelukis lain (selain 10 pelukis yang terpilih, ada 10 pelukis lagi yang menjadi barisan pengganti).

Dengan RM10,000 sebulan, setiap pelukis mampu mengambil beberapa orang pembantu (Gaji seorang pembantu RM1500-RM2000).

Pada akhir cabaran, setiap pelukis yang berjaya hingga minggu terakhir akan menghasilkan 600 halaman, ataupun 5 novel grafik setebal 120 halaman. Dalam cabaran ini tiada menang tiada kalah. Sebab itulah ia dinamakan cabaran dan bukannya pertandingan.

Matlamat cabaran ini adalah menghasilkan komik buatan anak tempatan yang bertaraf dunia.

Wah! Seronok, bukan? Saya yakin, dengan sistem sebegini, semua pelukis yang terlibat akan berusaha menghasilkan komik yang terbaik! Mungkin boleh tandingi komik-komik popular dari Jepun dan USA.

Saya berharap saya dikurniakan rezeki bagi merealisasikan impian ini. (^_^)

Okey! 20 pelukis (10 yang utama dan 10 pengganti) yang saya bayangkan terpilih bagi menyertai cabaran ini adalah:

1. Nazry & Afiq
2. Nizam Pac
3. Ahmad Ezaddin
4. Reja
5. Ben
6. Zint
7. Irfan Foner
8. Lambok
9. Ajif
10. Kutu
11. Aie
12. Keith
13. Froggypapa
14. Bophairy
15. Oren
16. Tembakau
17. Puppeteer
18. Kromosom
19. Rambai
20. Zamzami

Okey, tamat masa berangan-angan. Masa untuk kembali bekerja! xD

Wassalam.

Tuesday, May 22, 2012

Kelas Melukis Komik

UPDATE!
=========================================================

Alhamdulillah, Kelas Melukis Komik batch pertama sudah selesai dengan jayanya!

Kini, penyertaan sedang dibuka untuk batch ke-2! 

Kepada yang berminat, mohon daftarkan diri di sini: http://feeqry.blogspot.com/p/kelas-melukis-komik.html

Sekian sahaja, terima kasih!

=========================================================

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya (Nazry) ada rancangan untuk mengadakan bengkel menghasilkan komik. Insya-Allah, kemungkinan ia akan diadakan di sekitar Kajang.

Yuran? Tidak mahal, insya-Allah. Mungkin sekitar RM50 - RM100.

Bengkel ini mungkin diadakan sehari sahaja (crash course), dari jam 9 pagi hingga 5 petang, pada hujung minggu.

Jadi, ada sesiapa berminat?

Sekiranya ada sekurang-kurangnya 10 orang yang berminat, insya-Allah saya akan jalankan rancangan ini.
Sesiapa yang berminat mohon nyatakan di bahagian komen, ya.

Antara intipati bengkel ini adalah:

1. Cara mendapatkan idea
2. Cara menulis komik
3. Asas melukis komik
4. Perkongsian pengalaman
5. Kriteria buku-buku bestseller
6. Peluang-peluang berkarya
7. Rahsia kejayaan komik-komik Jepun
8. Komunikasi dengan editor dan banyak lagi!

Saya buka peluang ini hingga 27 Mei 2012. Sekiranya pada tarikh itu, jumlah mereka yang berminat kurang daripada 10, saya akan batalkan sahaja rancangan ini. Haha! :)

Terima kasih! Wassalam. :)

Monday, May 21, 2012

Soal Jawab Berkenaan Isu Stail Lukisan


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Baru-baru ini saya terperasan, isu berkenaan stail lukisan dalam komik sudah kembali hangat.

Stail komik Manga vs. stail komik Malaysia.

Mungkin musimnya sudah datang semula.

Okey, bagi sesiapa yang tidak tahu-menahu berkenaan isu ini, biarlah saya jelaskan dengan teliti.

Stail Manga: Stail lukisan yang berasal daripada Jepun. Stail sebegini sering dilihat dalam komik-komik buatan Jepun, seperti komik Naruto, One Piece dan Bleach. Dikatakan pelopor kepada stail Manga adalah Osamu Tezuka, iaitu bapa komik Jepun.

Stail Malaysia: Stail lukisan yang berasal daripada Malaysia. Stail sebegini boleh dilihat dalam majalah-majalah komik buatan Malaysia seperti Ujang, APO? dan Gila-Gila. Stail Malaysia ada banyak variasinya, tetapi antara ciri paling ketara adalah wataknya berhidung kembang dan gigi terkeluar.

Isu: Ada segelintir manusia kerap menempelak/memandang rendah/mengejek pelukis yang menggunakan stail Manga. Manusia-manusia itu mendakwa, pelukis yang menggunakan stail Manga tiada jati diri dan terikut-ikut stail luar. (Yang super peliknya, pelukis yang menggunakan stail komik US tidak diperkatakan apa-apa pula, malah dipuji dan dipuja, walhal stail US juga stail luar).

Okey, sekarang saya akan menjawab persoalan yang sering dilontarkan oleh 'pejuang' stail komik Malaysia kepada pelukis stail komik Manga:

***


Soalan: Mengapa gunakan stail Manga? Mengapa tidak gunakan stail Malaysia?

Jawapan: Sebab saya lebih sukakan stail Manga berbanding stail Malaysia. Sebagai pelukis, saya ada hak bagi memilih stail lukisan, medium dan genre komik saya sendiri. Malah, komik berstail Manga adalah sumber inspirasi saya semasa melukis komik. Sebab itulah saya gunakan stail Manga.

Bertanya soalan begini kepada pelukis, sama seperti bertanya soalan ini kepada pembeli kereta: Mengapa beli kereta BMW, mengapa tidak kereta Proton Preve?

Suka hati dialah mahu beli apa. Dia membeli dengan wang dia sendiri.

Sebagai pelukis, saya juga begitu. Saya melukis dengan tenaga dan alatan melukis saya sendiri. Suka hati sayalah mahu gunakan stail apa-apa pun.

***

Soalan: Mengapa sekarang semakin ramai pelukis tempatan gunakan stail Manga? Disebabkan mereka inilah, stail Malaysia semakin terpinggir.

Jawapan: Mudah sahaja. Zaman sudah berubah. Begitu juga cita rasa pelukis dan pembaca komik. Zaman kegemilangan komik-komik stail Malaysia sudah berlalu. Tidak perlu nafikan, sekarang adalah zaman kegemilangan komik berstail Manga.

Anggap sahaja komik seperti fesyen. Saya yakin anda yang bertanya soalan ini, sedang memakai seluar jean (sekiranya lelaki) dan bukannya seluar bell-bottom.

Malah, komik berstail Malaysia tidak terpinggir pun. Sekiranya mahu baca komik sebegitu, beli sahajalah majalah komik Ujang, APO? dan Gila-Gila. Semua majalah komik itu masih ada di pasaran.

Bagi saya, jumlah pembaca komik stail Malaysia tidak berkurang, tetapi jumlah pembaca komik stail Manga yang bertambah dengan pesat. Ini satu hakikat yang perlu ditelan meskipun pahit.

***

Soalan: Sebagai seorang pelukis tempatan, tidak malukah gunakan stail Manga? Di mana jati diri kamu? Di mana???

Jawapan: Tiada sebab untuk saya malu. Malah, saya yakin saya seorang yang kuat jati diri.

Manga hanya stail lukisan. Dalam komik-komik saya, nama watak, cara hidup watak, latar belakang, pakaian, semuanya bercirikan Malaysia. Dalam komik-komik saya, ada adegan watak utama makan nasi lemak, ada adegan solat berjemaah di masjid, sesekali watak utama memakai baju Melayu, watak-watak perempuan memakai tudung, ada adegan puasa, raya dan sebagainya.

Tiada jati diri? Anda pasti?

***

Soalan (lebih kepada kenyataan sebenarnya): Banyak komik sekarang menggunakan stail Manga. Membosankan dan tidak best!

Jawapan: Saya mahu tanya semula. Sudah cuba baca komik-komik itu? Ataupun anda sekadar membelek komik-komik itu dan letak semula, kemudian mengatakan yang semua komik itu 'membosankan dan tidak best' semata-mata kerana ia menggunakan stail Manga?

Belum baca pun, sudah tahu ia membosankan dan tidak best?

Heibat!

***

Soalan: Adakah anda akan berbangga sekiranya anda berjaya dengan stail komik Manga di Malaysia?

Jawapan: Ya, saya sangat berbangga!

***

Itu sahaja setakat ini. Insya-Allah, saya akan update lagi entri ini sekiranya saya terjumpa soalan-soalan baru.

Sebelum bersurai, saya ada satu nasihat kepada orang-orang yang tidak habis-habis mempertikaikan stail komik orang lain:

Sekiranya tidak berpuas hati melihat stail lukisan yang anda suka kian pupus, saya cabar anda untuk masuk ke dalam industri komik dan perjuangkan stail yang anda gemari. Angkat pen dan berjuang! Berhentilah menjadi pengkritik tetap yang tidak habis-habis memperlekehkan usaha orang lain!


Be a man and get in the war!


Wassalam.