Wednesday, April 18, 2012

Tanggungjawab.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ada orang kata, keputusan SPM yang cemerlang tidak menjamin masa hadapan yang cerah.

Ya, benar. Kerana TIADA satu perkara pun yang dapat menjamin masa hadapan. Tiada, kerana masa hadapan adalah perkara ghaib yang tidak dapat kita lihat, jangka dan tahu, apatah lagi jamin.

Namun, keputusan SPM yang cemerlang menjamin satu perkara; atitud pelajar.

Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM adalah pelajar yang berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkannya. Pelajar yang cemerlang dalam SPM, boleh diteka atitud mereka; rajin, berdedikasi dan yang paling penting, bertanggungjawab.

Belajar bersungguh-sungguh dengan penuh berdedikasi adalah tanggungjawab pelajar. Begitu juga hadir ke sekolah setiap hari, menyiapkan kerja sekolah, menghormati para guru dan rakan-rakan, dan menyiapkan tugasan. Semua itu tanggungjawab dan amanah.

Kenang kembali bagaimana ibu dan bapa kita bekerja bersusah-payah demi membayar yuran, memberikan wang belanja, belikan buku sekolah dan banyak lagi. Adakah mereka lakukan semua itu hanya supaya kita menjadi pelajar sederhana di sekolah? Tidak siapkan kerja sekolah, ponteng, tidak berikan perhatian dalam kelas, bercinta seolah-olah sudah berkahwin. Adakah demi semua itu?

Tidak.

Mereka mahu kita lakukan yang terbaik di sekolah.

Jangan larikan diri daripada tanggungjawab dengan berkata, sekolah tidak menjamin apa-apa. Jangan larikan diri daripada tanggungjawab dengan berkata, dapat 10A+ pun tidak ke mana.

Ingat, Tuhan melihat pada usaha, bukannya keputusan.

Sasarkan untuk mendapatkan keputusan terbaik, usahakan yang terbaik, dan terima sebarang keputusan yang diperolehi dengan cara yang terbaik, iaitu bersyukur.

Namun, setiap pelajar berbeza kebolehan. Ada yang perlahan, ada yang laju. Sekiranya tidak dapat menjadi pelajar cemerlang, sekurang-kurangnya jadilah pelajar yang bertanggungjawab.

Berhenti memberi alasan. Berhenti menyalahkan sistem pendidikan. Berhenti melakukan sesuatu demi masa hadapan.

Belajar demi tanggungjawab.

Sekiranya seseorang pelajar gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik di sekolah, kemungkinan besar dia juga akan gagal melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja, kelak.

Wassalam.

2 comments:

  1. Inspiring words .

    nak minta kebenaran share kat blog saya . boleh tak ? hehe .

    ReplyDelete
  2. Ya, boleh. Amat dialukan. :)

    Terima kasih!

    ReplyDelete