Sunday, December 11, 2011

Perihal berkenaan melukis KOMIK!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hai, hai! Apa khabar? Seronok tak lihat blog ini semakin aktif?



FEEQRY IS STILL ROCKIN, YEAH!




Hari ini saya mahu bercakap fasal komik... lagi. Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat memberikan inspirasi kepada semua pelukis muda yang baca blog ini, amin.... (^_____^)b


Saya dapati ramai pelukis muda mahu cuba terbitkan komik, walaupun usia mereka terlalu muda dan masih lagi bersekolah. Alasannya?  Kerana Afiq terbitkan komik pertama semasa tingkatan 3.

Ini sebenarnya satu perkembangan yang baik. Semakin hari semakin ramai generasi muda mahu menceburkan diri dalam bidang komik. Golongan inilah yang kelak akan mewarnai industri komik tanah air, insya-Allah.

Jadinya, saya mahu berikan sedikit panduan kepada barisan pelukis muda ini, supaya mereka lebih tahu dan faham berkenaan komik. Supaya mereka lebih yakin jalan yang mereka pilih. Supaya mereka boleh bertanya soalan yang betul. Supaya mereka boleh bina keyakinan diri dan selanjutnya menjadi seorang pelukis sejati.

* * *

1. Melukis Komik != Melukis Ilustrasi/Karikatur/Potret/Lanskap

Sekiranya anda pandai melukis potret, bukan bermakna anda sudah melepasi syarat bagi menjadi pelukis komik. Potret adalah satu cabang seni, manakala komik pula adalah cabang seni yang lain. Berlatih melukis potret tidak akan meningkatkan skil anda dalam melukis komik, dan sebaliknya juga.

Sekiranya mahu tingkatkan skil melukis komik, banyakkan berlatih melukis komik.


2. Tanya diri sendiri: Anda seriuskah mahu jadi pelukis komik?

Cuba tanya diri anda soalan ini: "Aku seriuskah mahu jadi pelukis komik?"

Sekiranya anda menjawab:
A. Entahlah/Tidak tahu/Agaknya/Mungkin/50-50 - Simpan semua alatan melukis dan tumpukan perhatian kepada pelajaran. Jangan buang masa melukis berjam-jam sehari tetapi tiada hala tuju.
B. Ya, aku serius! - Ini langkah pertama menjadi seorang pelukis komik. Sekiranya anda sudah serius mahu jadi pelukis komik, maka anda perlu juga serius melukis komik. SERIUS, bukan main-main.


3. Belajar melukis komik dengan serius

Melukis komik bukan semata-mata melukis manusia. Melukis komik memerlukan anda melukis:
A. Bangunan
B. Haiwan
C. Lanskap
D. Kenderaan
E. Pakaian
F. Dan macam-macam lagi.

Sekiranya anda mahu belajar melukis komik, anda juga perlu belajar melukis manusia, rumah, kereta, pokok, hutan, gunung, baju, seluar jean, pasar, laut, permaidani, sofa dan semua yang ada di sekeliling anda.

Seorang pelukis bukan semata-mata melukis berdasarkan imaginasi, tetapi juga visi! Lukis apa yang anda lihat! 

Sekiranya mahu lukis bangunan, pergi ke pekan/bandar, tangkap gambar bangunan dan lukis berdasarkan gambar itu. Sekiranya tiada kamera, pergi sahaja ke Google, taip kata kunci 'building', pilih option Image dan cari gambar bangunan yang sesuai. Save gambar yang dipilih dan lukis berdasarkan gambar itu.

Itulah cara yang Afiq gunakan bagi melukis bangunan dalam komik Aviasi Fantasi.


4. Melukis komik kerana minat, dan bukan kerana mengejar wang dan populariti

Sekiranya mahu kaya, jadi ahli perniagaan. Sekiranya mahu popular, jadi pelakon/penyanyi. Menjadi pelukis komik langsung, diulangi, langsung tidak menjamin wang dan populariti. Industri komik di Malaysia masih kecil berbanding negara luar. Jadi, janganlah terlalu berharapan tinggi, selepas habis sekolah, terus sahaja mahu melukis komik sepenuh masa. Fikir dua kali.

Melukis komik langsung tidak semudah membacanya.

* * *

Sekian sahaja untuk hari ini. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada yang membaca. Selamat melukis dan jumpa lagi dalam entri seterusnya! (^___^)v


Wassalam.

6 comments: