Menjadi pelukis komik sepenuh masa kedengaran menyeronokkan. Namun, apakah cabaran-cabarannya? Kali ini, saya menjemput Tuan Reja bagi berkongsi pengalaman beliau menjadi pelukis komik sepenuh masa.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih
kepada Tuan Nazry yang kacak bergaya (hehe!) kerana menjemput saya bagi berkongsi
serba sedikit pengalaman saya berkecimpung dalam bidang komik.
Pembabitan Dalam Bidang Komik
Bagi menceritakan bagaimana saya mula terjebak (seperti
negatif sahaja bunyinya, hehe!), okay, terbabit dalam bidang komik, sudah
banyak kali saya ceritakan sebenarnya. Dalam surat khabar Berita Harian dan
juga di TV9. Ceritanya panjang tetapi saya berikan sinopsis sahajalah, ya.
Hehehe!
Saya minat
melukis sejak sekolah rendah. Habis semua buku sekolah saya conteng. Oleh
kerana saya suka sangat komik Dragon Ball,
saya hanya melukis watak Son Goku. Hahaha! Minat ini berterusan hingga sekolah
menengah. Pada waktu itu, saya belum melukis komik, hanya menconteng-conteng.
Saya mula
melukis komik pertama saya semasa menuntut di matrikulasi pada tahun 2003.
Waktu itu, saya melukis komik satu muka untuk majalah matrikulasi. Kemudian,
saya terbaca pula berkenaan peraduan bakat baru komik Malaysia anjuran
Gempakstarz pada tahun itu. Saya mencuba nasib dalam peraduan itu setiap tahun.
Tetapi, tidak pernah terpilih sebagai finalis. Selepas saya memasuki
universiti, minat melukis masih utuh. Namun, masih lagi sekadar menconteng-conteng.
Melukis komik pula demi peraduan bakat baru komik Malaysia.
Pada tahun
2006, salah satu majalah MOY iaitu Blues
Selamanya (sekarang sudah tiada) ada menganjurkan slot Akademi Blues iaitu
ruang untuk pelukis baru menghantar karya. Saya hantar satu penyertaan.
Alhamdulillah, selepas berbulan-bulan menyemak majalah itu, akhirnya komik saya
diterbitkan. Tidak ingat isu keberapa. Mungkin antara isu 90 hingga 100. Sekiranya
ada sesiapa masih menyimpan majalah Blues
Selamanya, bolehlah semak. Tajuk komik pula tidak ingat, tetapi waktu itu saya
gunakan nama pena YLRAZER (ini nama saya dieja terbalik, tidak tahu mahu letak
nama pena apa masa itu, hahaha!).
Hah! Baru saya
ingat. Tajuk komik itu adalah Air Hikmat.
Selepas komik saya
terbit dalam Blues Selamanya, saya
cuba menghantar lagi. Tetapi, terus senyap membisu tanpa khabar. Waktu itu, Jon
Suraya (pelukis komik Amylea) menguasai
slot Akademi Blues.
Pada tahun 2008, nasib saya berubah. Sepupu saya memperkenalkan
saya kepada Kartunis Umbut. Sejak itu, semuanya berubah. Abang Umbut memperkenalkan
saya kepada Komik-M. Nasib baiklah pada masa itu, saya ada perancangan bagi
melukis satu komik panjang. Terus saya berikan proposal kepada tuan editor, dan syukur, proposal lulus!
Saya siapkan komik
Shootz! jilid 1, yang mana waktu itu
juga saya sedang bertungkus-lumus menyiapkan projek akhir sarjana muda. Pada hujung
tahun itu, terbitlah komik Shootz! #1.
Sejak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang. Saya terus melukis
sambungannya.
Kemudian, saya
ditawarkan melukis komik bagi novel Young
Aisyah pada awal tahun 2009. Alhamdulillah, novel Young Aisyah meletup (meletup ke? Haha!). Selain itu, saya juga
diberi tugas melukis ilustrasi bagi beberapa novel PTS seperti Homestay Bayu, Abang, Adik dan Ayam, Siri Geng Genius, Coklat Ataupun Strawberry dan juga melukis ilustrasi cover novel
Hani.com. Dari situ, saya terus
mengorak langkah menjadi pelukis komik sepenuh masa hingga kini.
Selain melukis
komik untuk Komik-M, saya juga pernah melukis beberapa komik lain. Contohnya,
siri komik untuk majalah Pendidik
terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sayangnya, siri komik itu sudah dihentikan.
Sekarang, setiap
bulan, saya melukis untuk sebuah majalah komik online bertajuk My E-Comic.
Jadual Bekerja
Secara asasnya, waktu kerja saya bolehlah dikatakan
seperti orang yang bekerja di pejabat. Dari pagi sampai petang. Kadang-kala overtime hingga malam. Tetapi, saya berasa
bebas bekerja sendiri. Tiada bos yang mengarah ataupun marah, menengking-nengking
menyuruh saya bekerja.
Cuma, menjadi lumrah
bekerja sendiri, apabila tidak melukis, tiadalah wang masuk. Jadi, bagi mendapatkan
wang, peraturan melukis mengikut mood perlu diketepikan. Saya perlu melukis
tidak kira waktu. Sama ada semasa sedang demam ataupun bercuti, saya perlu
melukis. Bolehlah dikatakan, bos saya adalah Encik Wang. Jadi, saya perlu bekerja
keras supaya duit terus masuk seperti arus sungai yang mengalir deras. Hahahaha!
Pendapatan
Pendapatan
saya waktu ini, alhamdulillah. Cukup bagi membayar bil-bil utiliti rumah. Selain
itu, saya juga mampu membeli beberapa gajet idaman seperti laptop, tablet
melukis berjenama Wacom Bamboo dan telefon pintar. Hahaha!
Secara
jujurnya, penyumbang utama kepada pendapatan saya adalah royalti daripada jualan
novel Young Aisyah. Alhamdulillah,
dan terima kasih kepada para penyokong novel Young Aisyah. Sekiranya hanya mengharapkan royalti jualan Komik-M
semata-mata, memang susah. Melainkan selepas Komik-M mendapat sokongan penuh
padu dan jitu daripada peminat komik Malaysia sekalian.
Tidak mustahil
pekomik Komik-M mampu hidup hanya dengan royalti jualan Komik-M. Jadi, sekiranya
mahu kami terus terbitkan komik di Komik-M, sokonglah Komik-M dengan membeli
komik-komik kami.
Nasihat Kepada Pelukis Muda
Akhir sekali,
nasihat saya kepada pekomik-pekomik muda, jangan mengalah dan teruskan dengan
minat anda. Juga, anda perlu terus menimba ilmu komik bagi memantapkan skil
komik dari semua segi, tidak kira dari segi kualiti lukisan mahupun mutu cerita
yang semestinya perlu mantap. Saya juga masih dalam proses pembelajaran bagi
memantapkan kemahiran saya.
Jangan fikir diri
sendiri sudah cukup bagus. Pada mata anda sahaja nampak bagus, tetapi pada mata
pelukis profesional, kemahiran anda masih pada tahap hingusan. Jadi, teruskan
menimba ilmu. Sekiranya anda bercita-cita mahu menjadi pelukis komik sepenuh
masa, ada satu formula rahsia yang perlu anda tahu:
“MINAT dicampur
KERJA KERAS didarab dengan TIDAK PUTUS ASA pasti menghasilkan KEJAYAAN.”
Sekian sahaja,
terima kasih. Jumpa lagi. Bye bye! Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Berkenaan Penulis
Reja bekerja sebagai pelukis sepenuh masa. Beliau giat menghasilkan komik panjang, komik antologi, komik semuka, ilustrasi dan kaver novel. Antara karya-karya popular beliau adalah siri komik Shootz! dan siri nomik Young Aisyah (bersama-sama Saridah Hamid). Alamat blog beliau adalah http://rejakartun.blogspot.com/
Alamak.. Gambar muka serabai.
ReplyDeleteTukar ambil yang hensem sikit boleh? Gambar profile page 'Reja' itu pun molek. hahahaha
Eh, okeylah gambar ni. Nampak profesional. Haha! (^_^)
Deletenice sharing bro reja:)
ReplyDeleteSaya minat melukis jugak tapi takde idea nak buat jalan cerita utk komik..mcm mana nak dapat idea tu ek?
ReplyDeletehai , saya nak tanya .. sekiranya saya ingin menjadi pelukis komik . saya perlu menghantar lukisan atau komik saya ke mana?
ReplyDeletesaya nk jadi pelukis komik mcm pakcik/abg reja... saya akn buat yg terbaik :D u are my idol xD
ReplyDeleteSaya hendak bekerja sebagai pelukis komik juga, encik hantar proposal encik kepada siapa?
ReplyDelete