Saturday, November 10, 2012

Teknologi Dalam Pembikinan Komik (oleh Froggypapa)

Siri novel grafik Super Safee telah mencipta fenomena dalam industri komik tempatan. Komik bertemakan bola sepak itu dihasilkan 100% dengan kaedah digital, oleh pelukis berpengalaman yang menggelar dirinya Froggypapa. Mari kita dengar pandangan beliau berkenaan penggunaan teknologi dalam pembikinan komik.



Pengenalan
Adapun, prinsip asas dan susur galur pembikinan komik itu, tidak wujud sebarang ketetapan yang diharuskan terhadap pelukisnya, oleh itu.... Fuh! Ayat seperti hendak menulis tesis.
Baik, baik! 
Saya mulakan dengan ucapan terima kasih kepada Nazry yang menjemput saya berleter di sini. Sekiranya dia tidak menjemput, tiadalah saya menulis. Jadi, kemana tumpahnya kuah jika tidak di atas keyboard saya ini? (Kurang asam! Siapa tumpahkan kuah kari ke atas keyboard aku?).

Pertama sekali, tajuk perbincangan satu hala kali ini adalah, Teknologi Dalam Pembikinan Komik. Malangnya, Nazry tidak memberitahu, apakah jenis teknologi yang perlu dibincangkan? Adakah teknologi alatan melukis? Ataupun teknologi IT? Ataupun mungkin, teknologi lukisan digital? Apakah? Jadi, saya akan rangkumkan semua sekali!
Komik dan Teknologi 
Kita manusia. Ya, tentunya bukan burung tiung. 
Jadi, disebabkan kita semua manusia yang serba-serbi mahukan yang terbaik, kita sering mengejar sesuatu yang terbaru. Contoh mudah, telefon bimbit yang kita miliki, tablet seperti iPad, Samsung, Blackberry, serta tidak lupa, jem blueberry yang manis.
Tidak dapat dibayangkan sekiranya manusia normal yang bekerja dan bergaji, tiada telefon bimbit, menaiki kereta lembu, dan tidak menggunakan pensil mekanikal. Kesimpulan mudah, kita tidak menolak teknologi. Apa jua teknologi. Apa jua. Okey? Faham? Mahu kena? Bagus! Jika ada yang tidak bersetuju, sila tampar diri sendiri kuat-kuat.
Bagaimana pula teknologi dalam pembikinan komik? This is simple (Lihat, saya sudah speaking London, jangan main-main!)
Ertinya sama sahaja. Kita, penulis dan pelukis, sentiasa mengejar perkara yang baru. Mengapa? Sebab mahu tulis cerita yang bagus, mahu lukis dengan lebih cantik dan cepat... (Hah! Banyaklah!)
Komik dan teknologi. Ada transisi di situ. Ada kisah dahulu dan sekarang. Mari!
Beliau gemar melukis dengan stroke ringkas dan comel

Teknologi Dahulu
Pada satu masa dahulu, Saiful Bahari dari Johor Bahru (bukan nama sebenar) bercita-cita mahu menjadi pelukis komik. Tetapi, Saiful langsung tidak tahu caranya. Dia hanya tahu melukis komik. 
Jadi, dia membeli majalah komik bagi mendapatkan nombor telefon dan alamat penerbit. Dia ke pondok telefon dan mendail nombor yang didapatinya. Selepas mencuba berkali-kali, barulah dia dapat bercakap dengan editor. Waktu itu, perkataan ‘editor’ pun tidak pernah dia dengar. Kemudian, editor meminta dia menghantar contoh karya dan lukisan. Dia, dengan riangnya, pulang ke rumah.
Kemudian, Saiful menulis surat dengan pen biru, dan dilampirkan lukisan komiknya. Lukisan itu menggunakan pensil sahaja. Pen lukisan agak mahal. Komik itu juga dilukis di atas kertas bersaiz A4 yang murah, ada sedikit kekotoran dan renyuk semasa proses menyiapkan komik. Namun, Saiful Bahari tetap berani. Seminggu selepas itu, komiknya siap.
Dia menampal setem 50 sen di atas sampul surat bersaiz A4, dan dia poskan surat itu dengan penuh harapan. Dia kemudiannya pulang ke rumah dan menunggu selama lima hari, sebelum dia menghubungi semula penerbit. Editor berpuas hati kepada karya Saiful, dan meminta Saiful datang ke Kuala Lumpur. 
Saiful Bahari mengambil masa dan mengumpul sedikit wang demi pergi ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumur, dia bertemu editor, dan mereka berbincang berkenaan hala tuju syarikat dan komik yang bakal diterbitkan. Kemudian, Saiful pulang ke rumah dan memulakan projek komik.
Itu dahulu. Sebelum ada teknologi baru. Kita lihat sekarang pula.
Penggunaan screentone dititikberatkan dalam penghasilan komik secara digital
Teknologi Kini
Saiful Baharu (juga bukan nama sebenar) bercita-cita mahu menjadi pelukis komik. Dia tidak tahu langsung caranya. 
Dengan telefon pintar Samsung miliknya, dia menaip kata kunci di laman Google; ‘komik malaysia’. Lalu, muncul beberapa nama penerbit komik di Malaysia. Malah, beberapa page Facebook penerbit komik terpapar pada skrin telefonnya. Dia terus like page itu dan menulis di wall page itu berkenaan hasratnya bagi menerbitkan komik. Dalam masa sejam sahaja, beberapa komen dibalas, dan Saiful Baharu dapat memahami cara-cara menjadi pelukis komik, dan teknik bagi membuatkan karyanya diterima oleh penerbit. 
Pada malam itu, dengan pen tablet jenama Wakom miliknya, dia melukis dengan menggunakan perisian percuma GIMP bagi menyediakan proposal komik. Selepas dua hari, proposal siap. Lalu, dia terus emelkan proposal kepada editor. Esoknya, editor membalas emel itu dan bersetuju menerbitkan komiknya, sekiranya Saiful Baharu sudi mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh syarikat. 
Saiful Baharu bersetuju. Projeknya mula berjalan.
Teknologi Dahulu vs. Kini
Saiful Bahari dan Saiful Baharu, mereka berdua sudah maju setapak ke arah mencapai impian masing-masing. Perbezaan antara mereka adalah sumber informasi dan masa yang diperlukan. Jelas sekali, Saiful Bahari lebih sukar mencari informasi, dan mengambil masa yang lebih lama untuk berkomunikasi dengan penerbit. Saiful Baharu pula lebih santai.
Disebabkan kita semua sezaman dengan Saiful Baharu, sekiranya anda semua bersyukur terhadap kesenangan yang dirasai Saiful Baharu, jelaslah anda tidak menolak teknologi. Kita semua, terutamanya penulis dan pelukis, begitu memerlukan teknologi. Sekiranya ada yang menolak idea ini, saya sarankan mereka duduk di dalam gua, dan bakar rusa golek.
Baik, sekarang kita sudah tahu, teknologi memang membantu kerja kita saban hari. Tiada penafian di situ. Tetapi, masih ada yang tidak mahu berganjak dari dunia lama. Masih ada penerbit yang suka memberi job dengan cara tradisional, iaitu berjumpa secara terus dan memberi job dalam bentuk bercetak, ataupun ditulis di atas kertas. Tidak salah, malah, ada kebaikannya. Penerbit ataupun editor dapat lebih mengenali pengkarya, dan maklumat berkenaan job lebih mudah diterangkan. 
Tetapi, ia datang dengan kos.
Kedua-dua pihak, editor dan pengkarya, perlu meluangkan masa sehingga separuh hari bekerja demi pertemuan itu, dan salah seorang daripada mereka perlu membelanja teh tarik, sekiranya mereka bertemu di kedai makan. Selalunya, editor yang bayar.
Lakaran komik Aku Bola dalam komik antologi Aku, Kau  & Bola : Separuh Masa Pertama

Teknologi Sebagai Sumber Ilmu
Pelukis komik yang lahir pada zaman ini juga beruntung. Mereka ada banyak sumber informasi berkenaan komik. Ribuan tutorial melukis dapat ditonton di laman Youtube. Pelbagai tip dan teknik melukis komik, yang mengambil masa bertahun bagi dipelopori oleh pelukis zaman 90-an, dapat dipelajari oleh pelukis komik zaman sekarang dalam masa singkat.
Ini bukannya tipu.
Saya juga mengambil masa berbulan-bulan bagi memikirkan cara membuat garisan focus line dalam sesebuah panel komik dengan kemas. Apabila saya berjaya menemui kaedahnya, saya menyangka saya sudah mencipta teknik baru. Padahal, memang itu tekniknya, iaitu buat satu titik fokus. Faham maksud saya, apabila saya katakan pelukis komik dahulu kurang sumber ilmu, dan pelukis sekarang begitu bertuah? Anda semua memang budak bertuah!
Kedudukan Kaedah Manual
Ramai pelukis komik berpengalaman masih kekal dengan kaedah tradisional atau manual, iaitu dakwat dan kertas. Malah, ada juga pelapis muda melukis secara manual, tetapi tetap menerbitkan komik. Entah siapa nama dia? Affin? Asfiq? Adiq? Entahlah, saya pun tidak kenal.
Penggunaan kaedah manual tidak salah malah dihormati. Dedikasi dan kerajinan jitu amat diperlukan di situ. Hei, dahulu saya gunakan cara manual juga! Pada tahun 2007, barulah saya beralih kepada cara digital.
Sedutan daripada sebuah komik pendek yang berjaya menaikkan nama beliau dalam Anugerah Pekomik 2011

Sebab Memilih Kaedah Digital
Saya memilih kaedah digital kerana saya mahu siapkan kerja dengan cepat. Saya tidak perlu membeli alatan melukis baru setiap bulan. Saya tidak perlu imbas dan bersihkan manuskrip. Bagi saya, lebih baik begini, yang mana akhirnya lukisan itu akan masuk juga ke dalam komputer. 
Bagi saya, nilai sebenar komik adalah apabila pembaca memegang komik itu, membaca, menikmati keseluruhan komik itu, dan berpuas hati. Bagaimana komik itu dihasilkan adalah hak milik peribadi dan kepuasan individu yang melukisnya. Namun, saya tetap berasa iri hati terhadap ketelitian hasil kerja manual.
Maklum Balas Pembaca
Pembaca komik sentiasa ada, malah semakin bertambah. 
Dahulu, maklum balas terhadap sesebuah komik hanya berdasarkan jumlah pucuk surat daripada peminat. Sekarang, lebih mudah dengan adanya Facebook dan blog. Malah, kini, sebelum komik diterbitkan lagi, pelbagai komen sudah boleh diterima, itu pun sekiranya pengkarya membuat page Facebook ataupun blog. Tetapi, saya tidak rajin. Maafkan saya.
Kesimpulan
Dengan teknologi dan kepelbagaian hiburan pada masa kini, komik tetap relevan. Cuma, kita perlu tahu cara mengaplikasi semua kemudahan yang ada. Sama ada semasa mencari idea, ketika membuat komik, ataupun selepas komik dicetak, kita sentiasa berpeluang memanfaatkan teknologi. Tiada gunanya duduk terperuk di bawah tempurung dan skeptikal kepada teknologi.
Dari tempat saya berdiri, teknologi sekadar alat. Kreativiti yang penting. Jangan salahkan Mike Zuckerberg sekiranya kerja anda tidak siap.
Terima kasih kerana sudi membaca. Selamat bekerja!
Berkenaan Penulis
Froggypapa adalah pelukis komik profesional yang menggunakan kaedah digital sepenuhnya. Beliau pernah terlibat dalam pembikinan siri komik Anak-anak Sidek. Kini, beliau sedang giat menghasilkan siri novel grafik berjudul Super Safee terbitan PTS Pop Sdn. Bhd. Pada tahun 2011, beliau dinobatkan sebagai Pekomik Terbaik dalam Anugerah Pekomik. Alamat blog beliau adalah http://froggypapa.blogspot.com/

Monday, November 5, 2012

Revolusi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya yakin, ramai pelukis komik di luar sana memasang pelbagai cita-cita dan impian.

Ada yang mahu menjadi pelukis komik profesional ataupun sepenuh masa, ada yang mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap komik, dan tidak kurang juga, ada yang mahu mencipta revolusi dalam industri komik.

Saya dan Afiq memulakan karier dalam bidang komik dengan impian sedemikian rupa. Alhamdulillah, kini kami berjaya menerbitkan 6 buah novel grafik, dan insya-Allah, jumlah itu tidak akan berhenti di situ.

Tujuan saya menulis entri ini adalah bagi berkongsi pandangan yang tersintesis daripada pengalaman, pengetahuan, dan pengamatan sepanjang menjadi penulis komik.

Sekiranya mahu menjadi pelukis komik profesional, perlu terbitkan komik.
Sekiranya mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap komik, perlu terbitkan komik.
Tentu sekali, sekiranya mahu mencipta revolusi dalam industri komik tempatan, perlu terbitkan komik.

Penerbitan yang saya maksudkan adalah penerbitan komersil. Iaitu, komik diterbitkan dalam bentuk buku fizikal oleh syarikat penerbitan yang sah, dan komik itu diedarkan ke seluruh negara.

Penerbitan komik indie, amatur, percuma, dan seumpama dengannya, tidak akan mampu mengubah pandangan masyarakat terhadap komik, apatah lagi mencipta revolusi. Sumbangan komik-komik indie dalam industri komik tempatan adalah kurang signifikan berbanding komik-komik yang dicetak dan diedarkan oleh syarikat penerbitan. Ini satu hakikat yang memeritkan bagi sesetengah pekomik.

Bagi mereka yang menganggap melukis komik sebagai hobi pada masa lapang, dan mungkin kerjaya sambilan, penerbitan indie adalah medan yang sesuai.

Bagi mereka yang mahu menjadi pelukis komik sepenuh masa, mahu membawa perubahan, dan mahu mencipta revolusi dalam industri komik tempatan, penerbitan buku komik secara komersil adalah jalan yang perlu dilalui. Bukannya penerbitan di Facebook ataupun laman sosial lain.

Mereka yang mahu mencipta revolusi dalam industri komik, tetapi masih bergelumang dalam dunia penerbitan indie, tidak ubah seperti seorang askar yang hanya menyaksikan peperangan tanpa kemampuan menyertainya.

Mahu cipta revolusi komik? Mahu memperbetulkan tanggapan masyarakat terhadap medium komik? Mahu menaikkan taraf komik tempatan ke persada antarabangsa?

Satu sahaja caranya. Terbitkan komik!

Wassalam.

Friday, October 12, 2012

Latar Belakang Dalam Komik (oleh Pac)


Kali ini, bersama-sama kita adalah Nizam Pac, pelukis komik sains fiksyen yang tidak asing lagi. Beliau adalah pemenang Anugerah Pekomik Terbaik dalam Anugerah Pekomik 2010. Mereka yang pernah membaca hasil karya Pac tentu mengagumi ketelitiannya dalam melukis latar belakang. Dalam entri ini, Pac berkongsi cerita berkenaan latar belakang dalam komik.



Kepentingan Latar Belakang

Latar belakang amat penting dalam komik, kerana ia dapat menjelaskan situasi dalam sesebuah adegan. Sesetengah pelukis komik menganggap latar belakang adalah sesuatu yang tidak penting. Ataupun, bagi mereka, latar belakang adalah sesuatu yang leceh untuk dilukis.

Logik juga. Lukis bersusah payah, tetapi harga 1 halaman komik tetap RM50. Sama ada lukis latar belakang ataupun tidak, bayarannya sama sahaja, iaitu RM50. Jadinya, latar belakang diketepikan.

Bagi aku, ini satu sikap yang tidak bagus. Kita mengharapkan nama komik Malaysia boleh naik. Tetapi, sedikit pun kita tidak mengambil inisiatif bagi menaikkan nama komik Malaysia itu sendiri, dengan harapan orang lain melakukannya. Ini tidak adil! Pada masa yang sama, kita mengagumi komik dari Jepun ataupun negara luar dengan hasil kerja yang amat teliti, dinamik, dan rajin. Tidak boleh begini.

Berbalik kepada latar belakang, ia bukanlah formula yang sangat perlu diutamakan dalam berkomik. Ada sesetengah panel tidak perlu dilukis latar belakangnya supaya ia tidak nampak terlalu semak ataupun sesak. Latar belakang juga kadang-kala tidak perlu ada supaya panel dan penceritaan nampak lebih dramatik.

Namun, ada pelukis tidak mahu melukis latar belakang dengan alasan tidak mahu komik mereka terlalu sesak, dan demi menjadikan komik mereka lebih dramatik. Hal ini diselesaikan dengan memperbanyakkan adegan close-up (bahagian muka biasanya). Ada juga yang memenuhkan kotak panel dengan garis gerakan. Garis gerakan memang penting bagi menjadikan adegan lebih dinamik, tetapi sekiranya ia dilukis berlebihan, pembaca akan menjadi bosan dan mengesyaki pelukis seorang yang malas.

Lukisan Pac sebelum terbitnya TwinX #1


Formula Melukis Latar Belakang

Jadi, formula yang aku gunakan bagi melukis latar belakang adalah begini:

Bagi adegan watak sedang membeli-belah di pasar ataupun sedang berada di pasar, aku akan lukis latar belakang besar bagi menunjukkan suasana di pasar dalam panel pertama ataupun kedua. ataupun di dalam mana-mana panel selagi halaman itu menerangkan yang watak berada di pasar. Bagi panel-panel seterusnya (selagi berada di pasar) sekiranya tidak lukis latar belakang pun tidak mengapa. Sekurang-kurangnya, gambar close-up (bahagian muka/muka dan badan/watak berdua ataupun bertiga) dan long-shot (watak berkumpulan) dilukiskan dengan sedikit latar belakang pasar.

Secara jujurnya, aku sendiri masih belum pernah melukis latar belakang yang terlalu rumit, dan masih ada jenis-jenis latar belakang yang belum pernah aku lukis.

Soal cantik ataupun tidak sesebuah latar belakang, itu perkara lain. Berkenaan lukisan perspektif, latar belakang yang dramatik ataupun dinamik memerlukan daya kreativiti dan imaginasi yang kuat. Ia memerlukan daya kefahaman yang tinggi berkenaan objek di sekeliling kita. Dalam hal ini, kemampuan ini memerlukan daya pemerhatian yang mantap terhadap fizikal realiti.

Aku ambil analogi begini bagi menerangkan maksud aku di atas.

Katakanlah, seseorang itu tidak pernah melihat motosikal yang sebenar di dalam dunia sebenar, gambar, ataupun televisyen, orang ini tidak akan dapat melukis motosikal walaupun perkataan motosikal disebut kepadanya berkali-kali. Bagi individu yang pernah melihat motosikal ataupun memahami motosikal dengan fungsinya, dia tidak akan ada masalah bagi membayangkan motosikal. Dengan latihan yang cukup, individu ini mampu melukis motosikal dengan proportion yang tepat, tidak mengira dari sudut mana sekalipun. Kes ini dapat dipadankan dalam melukis latar belakang juga.

Objek motosikal juga sangat penting di dalam komik Malaysia moden. Ini disebabkan masyarakat kita tidak dapat dipisahkan dengan kenderaan ini. Di kampung, kawasan pedalaman, ataupun di bandar, kita boleh temui kenderaan ini. Kebanyakan pelukis komik baru selalu terlupa memasukkan kenderaan ini di dalam komik. Sebaliknya, pelukis komik akan melukis watak hanya berjalan kaki tanpa mengira jarak perjalanan, sama ada 200 meter ataupun 2500 kilometer. This is insane!

Dalam komik Jepun, perkara ini tidak mustahil, kerana mungkin watak akan berjalan kaki berpuluh kilometer dan menaiki kenderaan transit aliran ringan seperti keretapi, monorel, dan LRT. Tetapi, kita orang Malaysia. Orang Malaysia lukis cerita komik di negara Jepun. Come on! Kamen rider pun menaiki motosikal.

Pembaca juga dapat menilai cara pemikiran pelukis ataupun penulis komik. Sama ada pelukis seorang yang teliti, matang, suka loyar buruk, skema, delusional, mahu komik segera siap, rasional, liberal, dan sebagainya.

Antara lukisan latar belakang dalam salah satu hasil karya Pac


Menulis Realiti dan Sains Fiksyen

Aku gemar melukis cerita yang berkaitan realiti dan juga sains fiksyen. Pada pendapat aku, realiti sangat mudah dijelaskan terutamanya dengan sains. Subjek yang aku cuba elakkan sekarang adalah berkenaan hantu, kuasa mistik, paranormal, dan UFO. Bukan apa, secara jujurnya, aku sedikit pun tidak dapat jelaskan subjek-subjek yang aku sebutkan tadi. Dan aku jamin, tiada siapa pun dapat menjelaskannya.

Let’s be honest. Aku dan orang lain makan benda yang diperbuat daripada bahan yang sama, pernah berasa letih, lapar, dan sakit. Kita sama-sama tidur apabila mengantuk. Apabila kita semua sudah cukup tidur, kita bangun. Kita sama-sama bangun pagi dan pergi kerja. Soalannya sekarang, bagaimana orang lain boleh tahu benda yang aku tidak tahu?

Tetapi, sekiranya penerbit sanggup bayar aku gaji yang tinggi untuk mengkaji subjek-subjek di atas, memang aku sanggup buat. Biasalah, mahu hidup. Dalam dunia aku, duit tidak datang dari langit seperti sesetengah orang fikirkan.

Aku hanya akan tulis cerita berkenaan perkara yang aku faham. Bagi mereka yang pernah baca komik Twin X aku, aku ada sertakan pautan yang menjelaskan nama saintifik dan istilah-istilah yang sukar difahami. Sekiranya pembaca skeptikal terhadap penerangan aku, aku harap pembaca boleh belajar sendiri subjek yang berkaitan. Sekiranya tahu sahaja tidak mencukupi, perlu fahamkan juga, barulah betul.

TwinX adalah komik fiksyen sains, jadi aku tidak boleh terus pergi kepada sains. Sekiranya mahu belajar sains, lebih baik baca buku sains, bukan? Jadi, bagi menjadikan komik TwinX menarik, aku perlu twist fakta sains yang ada dan berikan sedikit penjelasan, supaya pembaca yakin dan faham penulisan aku. Banyak unsur yang aku terpaksa ubah sedikit dalam komik itu, terutamanya meriam positron, kepintaran buatan yang begitu advance, dan spontaneous mutation yang dialami oleh Joshua dan Aizam.

Itu tidak bermaksud positron tidak wujud, cuma proses penyediaan partikel anti-matter bukanlah proses yang mudah dan boleh dilakukan dalam ruang yang kecil seperti VHECM. Namun, bagi memikirkan senjata super yang ideal bukannya kerja yang mudah. 

Pac melukis latar belakang tanpa bantuan pembaris; semuanya dengan tangan kosong


Pesanan

Akhir kata, melukis komik bukan kerja mudah. Banyak perkara yang perlu diambil kira dari sekecil-kecil hal sekalipun. Memilih jalan untuk melukis komik, memerlukan ketabahan yang luar biasa. Ya, ada orang di luar sana menyangka melukis komik menyeronokkan dan boleh memberikan keuntungan yang banyak. Tidak semestinya. 


Secara jujurnya, nasib memainkan peranan yang penting dalam hal ni. Ada juga orang bekerja keras untuk berjaya dalam bidang ni, contohnya dengan berkolaborasi, berkarya untuk komik luar negara, dan lain-lain.

Akhir kata, majulah komik untuk negara.

Berkenaan Penulis

Pac adalah seorang pelukis komik dan ilustrasi sepenuh masa. Antara karya popular beliau adalah siri novel grafik berjudul TwinX, iaitu sebuah komik aksi bertemakan sains fiksyen. Alamat blog beliau adalah http://pacuniverse.blogspot.com