Wednesday, September 19, 2012

Sekolah Bukan Penghalang!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya seringkali terdengar keluhan sebegini daripada ramai pelukis muda yang masih bersekolah:
1. Saya tidak boleh melukis disebabkan sekolah.
2. Saya mahu terbitkan komik, tetapi hanya selepas tamat sekolah.
3. Kerja sekolah terlalu banyak! Saya tidak dapat melukis.
4. Akhir tahun nanti ada peperiksaan besar. Saya perlu berhenti melukis komik dan tumpukan perhatian kepada pelajaran.

Maaf, saya kurang gemar mendengar alasan-alasan sebegini. Ya, sekolah adalah penting, tetapi cita-cita dan impian juga tidak kurang penting. Tidak perlu korbankan mana-mana. Pastikan kedua-duanya bergerak seiring.

Pelukis yang memberikan alasan sekolah sebagai penghalang, apabila dia sudah tamat sekolah dan memasuki kolej ataupun universiti, dia akan memberikan alasan baru; kolej pula yang menghalangnya melukis. Kononnya terlalu banyak tugasan perlu disiapkan, banyak subjek perlu diulangkaji dan lain-lain.

Apabila dia sudah tamat pengajian dan bekerja, satu lagi alasan timbul; kerja menghalangnya daripada melukis. Hingga apabila dia sudah berusia dan tidak lagi memiliki kemampuan untuk melukis, barulah dia menyesal kerana memberikan terlalu banyak alasan dalam berimpian.

Satu alasan akan melahirkan alasan baru. Nasihat saya, berhenti beralasan dan mula melukis sekarang. Hentikan rantaian alasan dan teruskan berwawasan.

Jadikan sekolah sebagai cabaran dan bukannya halangan. Be a man!

Ada orang sudah buktikan, sekolah bukannya penghalang. Ada orang sudah buktikan, usia bukan halangan untuk menerbitkan komik. Ada orang sudah buktikan, mengejar cita-cita dan impian tidak menghalangnya daripada menjadi pelajar cemerlang. Dan orang ini berjaya membuktikan semua itu kerana tidak pernah sekalipun dia memberikan alasan.

Ada impian? Mula mengejarnya dari sekarang!

Wassalam.

Saturday, September 15, 2012

Di kaca TV akhirnya!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Afiq dan Nazry akhirnya berjaya membuat penampilan sulung di kaca TV! Alhamdulillah! v(^^,)v

Al-kisahnya, kami bersiaran secara langsung dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9 pada pukul 9 pagi, hari Jumaat bersamaan 14 September 2012. Anda boleh menonton rakamannya menerusi tonton.com.my.

Di sini, ada beberapa snapshot yang memaparkan aksi kami di kaca TV. Heee!


Afiq sedang membuat demo

Afiq & Nazry di kaca TV

Nazry sedang berceloteh

Harapan kami, lebih ramai orang di luar sana akan mengenali komik-komik kami. Kepada yang sempat menonton, tahniah dan terima kasih!

Sekian, wassalam.

Friday, August 31, 2012

Internet

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam lebaran kepada para pembaca blog ini! Diharapkan raya tahun ini lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Semoga kita disampaikan kepada Ramadan dan Syawal pada tahun akan datang, amin....

Internet.

Ciptaan manusia paling signifikan dalam sejarah peradaban manusia.

Ia mampu menghubungkan insan-insan yang terpisah oleh batasan ruang dan waktu. Ia juga mampu menyalurkan pelbagai informasi dan ilmu dengan hanya satu klik. Akhir sekali, ia mempermudahkan sebegitu banyak urusan manusia, lebih-lebih lagi yang melibatkan komunikasi.

Pelukis dan penulis adalah antara manusia yang mendapat manfaat besar daripada penciptaan Internet.

Mahu dengar beberapa fakta menarik?


  • Saya dan Afiq tidak pernah berjumpa tuan editor Komik-M, hingga selepas komik Aviasi Fantasi #1 terbit.
  • Sepanjang proses penghasilan komik Misi 10A Plus, saya dan Afiq tidak pernah bertemu.
  • Sekarang ini, saya (Nazry) sedang terlibat dalam dua projek komik bersama-sama dua orang pelukis baru yang berbakat besar - seorang di Melaka, seorang lagi di Sabah. Projek sedang berjalan tanpa kami bersemuka.
Internet memungkinkan kerjasama tanpa keperluan bertemu muka. Komik, novel dan novel grafik; semua itu boleh dihasilkan secara bekerjasama tanpa perlu pelukis dan penulisnya berjumpa. 

Oleh itu, gunakan kemudahan yang ada bagi bersinergi. Kerjasama mampu menghasilkan sesuatu yang hebat, lebih hebat daripada hasil kerja sendirian. 

Anda seorang penulis? Mahu buat komik tetapi tidak mampu melukis dengan baik? Cari sahaja pelukis yang bersesuaian di Facebook ataupun DeviantArt.

Anda seorang pelukis? Mahu buat komik tetapi tiada idea? Cari sahaja penulis di laman-laman yang sama.

Talian Internet dicipta bukannya semata-mata untuk permainan online, ya. He he!

Sekian sahaja. 

Wassalam.