Friday, February 17, 2012

Melukis komik adalah perjuangan!


Iklan ini, yang kami jumpa di dalam buku TWINX #1 karya Pac, adalah titik permulaan perjuangan kami dalam bidang komik. Dengan penuh teruja, kami menghantar proposal dan contoh lukisan kepada tuan editor Komik-M. Alhamdulillah, mereka berminat, dan mereka bersetuju untuk menerbitkan komik kami.

Sejak itu, tidur malam kami jarang sekali mencukupi. Setiap hari kami bertungkus-lumus menyiapkan komik pertama kami. Ketika itu, saya bekerja sebagai tutor di UTM Skudai, manakala Afiq pula pelajar tingkatan 3 yang bakal menghadapi PMR. Tanggungjawab pada siang hari langsung tidak menghalang kami mengejar impian pada malam hari. 

Selama 8 bulan kami bekerja keras demi menyiapkan Aviasi Fantasi #1. 8 bulan yang penuh getir, cabaran dan rintangan. 8 bulan yang mencabar minda, emosi dan jiwa. Selama 8 bulan itu, pelbagai perkara kami tempuhi.

1. Tidak cukup tidur dan rehat (lebih-lebih lagi Afiq)
2. Dipandang sinis oleh segelintir manusia
3. Ditentang oleh ahli keluarga
4. Penurunan prestasi kerja dan pelajaran

Dan banyak lagi sebenarnya....

Tetapi....

Segala kepayahan selama 8 bulan itu kami rasakan begitu berbaloi selepas komik kami siap dicetak. 

Pada malam hari saya mendapat naskhah komik Aviasi Fantasi #1, saya tidur bersamanya.




Keseronokan memegang dan membaca komik sendiri akan menghilangkan terus segala kesusahan yang dialami semasa menghasilkannya. Percayalah, itu yang saya dan Afiq alami.

Kepada para pelukis, jangan berhenti melukis selagi komik belum terbit. Satu hari siapkan satu panel pun tidak mengapa, asalkan ada kemajuan. Writer's block ataupun artist's block hanyalah rekaan manusia yang malas ataupun mahu memanjangkan deadline. Istilah 'tiada masa' pun tidak wujud, kerana setiap hari kita diberikan masa selama 24 jam. Gunakan sepenuhnya masa yang ada, kerana kita tidak tahu berapa banyak lagi masa yang tinggal.

Semakin kita dekat kepada impian, semakin besar cabarannya.

Lukisan belum cukup bagus? Berlatih hingga ia cukup bagus.
Cerita belum mantap? Mantapkan cerita.
Tiada idea? Dapatkan idea.
Tiada peluang? Ada Komik-M, Alaf 21, Wuuhuu, G3 dan banyak lagi. Semua itu peluang.

Tepis semua alasan, dan lakukan sahaja!

Sekian, wassalam.

Tuesday, December 20, 2011

Anugerah Peminat kepada Feeqry! ^_______^


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Semoga para pembaca sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah Maha Besar. 


Hari ini, saya mahu bercerita fasal 2 anugerah yang kami terima daripada pembaca komik kami. 

Anugerah pertama adalah lukisan yang sangat cantik daripada saudari Amirah Max. Beliau sanggup datang ke Mid Valley bersama ibu beliau semata-mata mahu bertemu dengan saya. Terima kasih banyak-banyak! Semoga saudari beroleh banyak manfaat selepas mendengar talk yang saya sampaikan tempoh hari.  Teruskan menyokong kami, ya! ^_________^




Anugerah kedua datangnya daripada Adik Irfan Zalaruddin. Beliau memilih komik Misi 10A sebagai komik terbaik manakala Kelab Da Vinci sebagai novel terbaik yang dibacanya pada tahun 2011. Terima kasih, Adik Irfan! Teruskan membaca komik Feeqry, ya! ^______^



Mungkin bagi sesetengah orang, kedua-dua perkara ini seperti tiada apa-apa. Tetapi, perkara-perkara inilah yang membuatkan kami lebih bersemangat untuk berkarya. Teruskan menyokong kami, insya-Allah kami akan terus hasilkan komik yang terbaik untuk tatapan kamu semua!

Terima kasih! ^____________^

Wassalam.

Sunday, December 11, 2011

Perihal berkenaan melukis KOMIK!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hai, hai! Apa khabar? Seronok tak lihat blog ini semakin aktif?



FEEQRY IS STILL ROCKIN, YEAH!




Hari ini saya mahu bercakap fasal komik... lagi. Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat memberikan inspirasi kepada semua pelukis muda yang baca blog ini, amin.... (^_____^)b


Saya dapati ramai pelukis muda mahu cuba terbitkan komik, walaupun usia mereka terlalu muda dan masih lagi bersekolah. Alasannya?  Kerana Afiq terbitkan komik pertama semasa tingkatan 3.

Ini sebenarnya satu perkembangan yang baik. Semakin hari semakin ramai generasi muda mahu menceburkan diri dalam bidang komik. Golongan inilah yang kelak akan mewarnai industri komik tanah air, insya-Allah.

Jadinya, saya mahu berikan sedikit panduan kepada barisan pelukis muda ini, supaya mereka lebih tahu dan faham berkenaan komik. Supaya mereka lebih yakin jalan yang mereka pilih. Supaya mereka boleh bertanya soalan yang betul. Supaya mereka boleh bina keyakinan diri dan selanjutnya menjadi seorang pelukis sejati.

* * *

1. Melukis Komik != Melukis Ilustrasi/Karikatur/Potret/Lanskap

Sekiranya anda pandai melukis potret, bukan bermakna anda sudah melepasi syarat bagi menjadi pelukis komik. Potret adalah satu cabang seni, manakala komik pula adalah cabang seni yang lain. Berlatih melukis potret tidak akan meningkatkan skil anda dalam melukis komik, dan sebaliknya juga.

Sekiranya mahu tingkatkan skil melukis komik, banyakkan berlatih melukis komik.


2. Tanya diri sendiri: Anda seriuskah mahu jadi pelukis komik?

Cuba tanya diri anda soalan ini: "Aku seriuskah mahu jadi pelukis komik?"

Sekiranya anda menjawab:
A. Entahlah/Tidak tahu/Agaknya/Mungkin/50-50 - Simpan semua alatan melukis dan tumpukan perhatian kepada pelajaran. Jangan buang masa melukis berjam-jam sehari tetapi tiada hala tuju.
B. Ya, aku serius! - Ini langkah pertama menjadi seorang pelukis komik. Sekiranya anda sudah serius mahu jadi pelukis komik, maka anda perlu juga serius melukis komik. SERIUS, bukan main-main.


3. Belajar melukis komik dengan serius

Melukis komik bukan semata-mata melukis manusia. Melukis komik memerlukan anda melukis:
A. Bangunan
B. Haiwan
C. Lanskap
D. Kenderaan
E. Pakaian
F. Dan macam-macam lagi.

Sekiranya anda mahu belajar melukis komik, anda juga perlu belajar melukis manusia, rumah, kereta, pokok, hutan, gunung, baju, seluar jean, pasar, laut, permaidani, sofa dan semua yang ada di sekeliling anda.

Seorang pelukis bukan semata-mata melukis berdasarkan imaginasi, tetapi juga visi! Lukis apa yang anda lihat! 

Sekiranya mahu lukis bangunan, pergi ke pekan/bandar, tangkap gambar bangunan dan lukis berdasarkan gambar itu. Sekiranya tiada kamera, pergi sahaja ke Google, taip kata kunci 'building', pilih option Image dan cari gambar bangunan yang sesuai. Save gambar yang dipilih dan lukis berdasarkan gambar itu.

Itulah cara yang Afiq gunakan bagi melukis bangunan dalam komik Aviasi Fantasi.


4. Melukis komik kerana minat, dan bukan kerana mengejar wang dan populariti

Sekiranya mahu kaya, jadi ahli perniagaan. Sekiranya mahu popular, jadi pelakon/penyanyi. Menjadi pelukis komik langsung, diulangi, langsung tidak menjamin wang dan populariti. Industri komik di Malaysia masih kecil berbanding negara luar. Jadi, janganlah terlalu berharapan tinggi, selepas habis sekolah, terus sahaja mahu melukis komik sepenuh masa. Fikir dua kali.

Melukis komik langsung tidak semudah membacanya.

* * *

Sekian sahaja untuk hari ini. Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada yang membaca. Selamat melukis dan jumpa lagi dalam entri seterusnya! (^___^)v


Wassalam.