Monday, October 1, 2012

Sudah bermula! Pencarian Bakat Baru Komik-M!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sudah bermula! Sudah bermula! 

Komik-M Cari Bakat! Sebuah pertandingan melukis komik yang dianjurkan oleh PTS Media Groups. Pertandingan ini terbuka hanya kepada para pelajar sekolah.

Di bawah ini adalah posternya: 


Ayuh, jangan lepaskan peluang! Hadiahnya menarik! Peluang yang menanti para pemenang lebih menarik! Kemungkinan besar pemenang berpeluang menerbitkan sebuah komik solo dengan Komik-M. Mana tahu. Hehe!

Sekali lagi, jangan lepaskan peluang. Tarikh tutup penyertaan adalah 31 Disember 2012. Bermakna, bermula hari ini, ada 3 bulan penuh sebelum tarikh tutup. Tiga bulan untuk menghasilkan komik 6 muka surat adalah terlalu banyak masanya. Nasihat saya, gunakan masa yang ada dengan bijak. Ini cadangan saya:

Bulan pertama: Berlatih melukis komik
Bulan kedua: Mencari idea dan menulis cerita
Bulan ketiga: Mula melukis komik hingga siap keenam-enam muka surat 

Mula gerakkan pensel sekarang! Ini masanya untuk anda tunjukkan bakat anda kepada semua!

SELAMAT BERJAYA!

Wassalam.


Wednesday, September 19, 2012

Sekolah Bukan Penghalang!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya seringkali terdengar keluhan sebegini daripada ramai pelukis muda yang masih bersekolah:
1. Saya tidak boleh melukis disebabkan sekolah.
2. Saya mahu terbitkan komik, tetapi hanya selepas tamat sekolah.
3. Kerja sekolah terlalu banyak! Saya tidak dapat melukis.
4. Akhir tahun nanti ada peperiksaan besar. Saya perlu berhenti melukis komik dan tumpukan perhatian kepada pelajaran.

Maaf, saya kurang gemar mendengar alasan-alasan sebegini. Ya, sekolah adalah penting, tetapi cita-cita dan impian juga tidak kurang penting. Tidak perlu korbankan mana-mana. Pastikan kedua-duanya bergerak seiring.

Pelukis yang memberikan alasan sekolah sebagai penghalang, apabila dia sudah tamat sekolah dan memasuki kolej ataupun universiti, dia akan memberikan alasan baru; kolej pula yang menghalangnya melukis. Kononnya terlalu banyak tugasan perlu disiapkan, banyak subjek perlu diulangkaji dan lain-lain.

Apabila dia sudah tamat pengajian dan bekerja, satu lagi alasan timbul; kerja menghalangnya daripada melukis. Hingga apabila dia sudah berusia dan tidak lagi memiliki kemampuan untuk melukis, barulah dia menyesal kerana memberikan terlalu banyak alasan dalam berimpian.

Satu alasan akan melahirkan alasan baru. Nasihat saya, berhenti beralasan dan mula melukis sekarang. Hentikan rantaian alasan dan teruskan berwawasan.

Jadikan sekolah sebagai cabaran dan bukannya halangan. Be a man!

Ada orang sudah buktikan, sekolah bukannya penghalang. Ada orang sudah buktikan, usia bukan halangan untuk menerbitkan komik. Ada orang sudah buktikan, mengejar cita-cita dan impian tidak menghalangnya daripada menjadi pelajar cemerlang. Dan orang ini berjaya membuktikan semua itu kerana tidak pernah sekalipun dia memberikan alasan.

Ada impian? Mula mengejarnya dari sekarang!

Wassalam.

Saturday, September 15, 2012

Di kaca TV akhirnya!

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Afiq dan Nazry akhirnya berjaya membuat penampilan sulung di kaca TV! Alhamdulillah! v(^^,)v

Al-kisahnya, kami bersiaran secara langsung dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9 pada pukul 9 pagi, hari Jumaat bersamaan 14 September 2012. Anda boleh menonton rakamannya menerusi tonton.com.my.

Di sini, ada beberapa snapshot yang memaparkan aksi kami di kaca TV. Heee!


Afiq sedang membuat demo

Afiq & Nazry di kaca TV

Nazry sedang berceloteh

Harapan kami, lebih ramai orang di luar sana akan mengenali komik-komik kami. Kepada yang sempat menonton, tahniah dan terima kasih!

Sekian, wassalam.