Thursday, August 23, 2012

Menjadi Pelukis Komik Sepenuh Masa (oleh Reja)



Menjadi pelukis komik sepenuh masa kedengaran menyeronokkan. Namun, apakah cabaran-cabarannya? Kali ini, saya menjemput Tuan Reja bagi berkongsi pengalaman beliau menjadi pelukis komik sepenuh masa.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


 Terima kasih kepada Tuan Nazry yang kacak bergaya (hehe!) kerana menjemput saya bagi berkongsi serba sedikit pengalaman saya berkecimpung dalam bidang komik.





Pembabitan Dalam Bidang Komik

Bagi menceritakan bagaimana saya mula terjebak (seperti negatif sahaja bunyinya, hehe!), okay, terbabit dalam bidang komik, sudah banyak kali saya ceritakan sebenarnya. Dalam surat khabar Berita Harian dan juga di TV9. Ceritanya panjang tetapi saya berikan sinopsis sahajalah, ya. Hehehe!

Saya minat melukis sejak sekolah rendah. Habis semua buku sekolah saya conteng. Oleh kerana saya suka sangat komik Dragon Ball, saya hanya melukis watak Son Goku. Hahaha! Minat ini berterusan hingga sekolah menengah. Pada waktu itu, saya belum melukis komik, hanya menconteng-conteng.

Saya mula melukis komik pertama saya semasa menuntut di matrikulasi pada tahun 2003. Waktu itu, saya melukis komik satu muka untuk majalah matrikulasi. Kemudian, saya terbaca pula berkenaan peraduan bakat baru komik Malaysia anjuran Gempakstarz pada tahun itu. Saya mencuba nasib dalam peraduan itu setiap tahun. Tetapi, tidak pernah terpilih sebagai finalis. Selepas saya memasuki universiti, minat melukis masih utuh. Namun, masih lagi sekadar menconteng-conteng. Melukis komik pula demi peraduan bakat baru komik Malaysia.

Pada tahun 2006, salah satu majalah MOY iaitu Blues Selamanya (sekarang sudah tiada) ada menganjurkan slot Akademi Blues iaitu ruang untuk pelukis baru menghantar karya. Saya hantar satu penyertaan. Alhamdulillah, selepas berbulan-bulan menyemak majalah itu, akhirnya komik saya diterbitkan. Tidak ingat isu keberapa. Mungkin antara isu 90 hingga 100. Sekiranya ada sesiapa masih menyimpan majalah Blues Selamanya, bolehlah semak. Tajuk komik pula tidak ingat, tetapi waktu itu saya gunakan nama pena YLRAZER (ini nama saya dieja terbalik, tidak tahu mahu letak nama pena apa masa itu, hahaha!). 

Hah! Baru saya ingat. Tajuk komik itu adalah Air Hikmat.

Selepas komik saya terbit dalam Blues Selamanya, saya cuba menghantar lagi. Tetapi, terus senyap membisu tanpa khabar. Waktu itu, Jon Suraya (pelukis komik Amylea) menguasai slot Akademi Blues.

Pada  tahun 2008, nasib saya berubah. Sepupu saya memperkenalkan saya kepada Kartunis Umbut. Sejak itu, semuanya berubah. Abang Umbut memperkenalkan saya kepada Komik-M. Nasib baiklah pada masa itu, saya ada perancangan bagi melukis satu komik panjang. Terus saya berikan proposal kepada tuan editor, dan syukur, proposal lulus!

Saya siapkan komik Shootz! jilid 1, yang mana waktu itu juga saya sedang bertungkus-lumus menyiapkan projek akhir sarjana muda. Pada hujung tahun itu, terbitlah komik Shootz! #1. Sejak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang. Saya terus melukis sambungannya.

Kemudian, saya ditawarkan melukis komik bagi novel Young Aisyah pada awal tahun 2009. Alhamdulillah, novel Young Aisyah meletup (meletup ke? Haha!). Selain itu, saya juga diberi tugas melukis ilustrasi bagi beberapa novel PTS seperti Homestay Bayu, Abang, Adik dan Ayam, Siri Geng Genius, Coklat Ataupun Strawberry dan juga melukis ilustrasi cover novel Hani.com. Dari situ, saya terus mengorak langkah menjadi pelukis komik sepenuh masa hingga kini.

Selain melukis komik untuk Komik-M, saya juga pernah melukis beberapa komik lain. Contohnya, siri komik untuk majalah Pendidik terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Sayangnya, siri komik itu sudah dihentikan.

Sekarang, setiap bulan, saya melukis untuk sebuah majalah komik online bertajuk My E-Comic.

Jadual Bekerja

Secara asasnya, waktu kerja saya bolehlah dikatakan seperti orang yang bekerja di pejabat. Dari pagi sampai petang. Kadang-kala overtime hingga malam. Tetapi, saya berasa bebas bekerja sendiri. Tiada bos yang mengarah ataupun marah, menengking-nengking menyuruh saya bekerja.

Cuma, menjadi lumrah bekerja sendiri, apabila tidak melukis, tiadalah wang masuk. Jadi, bagi mendapatkan wang, peraturan melukis mengikut mood perlu diketepikan. Saya perlu melukis tidak kira waktu. Sama ada semasa sedang demam ataupun bercuti, saya perlu melukis. Bolehlah dikatakan, bos saya adalah Encik Wang. Jadi, saya perlu bekerja keras supaya duit terus masuk seperti arus sungai yang mengalir deras. Hahahaha!

Pendapatan

Pendapatan saya waktu ini, alhamdulillah. Cukup bagi membayar bil-bil utiliti rumah. Selain itu, saya juga mampu membeli beberapa gajet idaman seperti laptop, tablet melukis berjenama Wacom Bamboo dan telefon pintar. Hahaha!

Secara jujurnya, penyumbang utama kepada pendapatan saya adalah royalti daripada jualan novel Young Aisyah. Alhamdulillah, dan terima kasih kepada para penyokong novel Young Aisyah. Sekiranya hanya mengharapkan royalti jualan Komik-M semata-mata, memang susah. Melainkan selepas Komik-M mendapat sokongan penuh padu dan jitu daripada peminat komik Malaysia sekalian.

Tidak mustahil pekomik Komik-M mampu hidup hanya dengan royalti jualan Komik-M. Jadi, sekiranya mahu kami terus terbitkan komik di Komik-M, sokonglah Komik-M dengan membeli komik-komik kami.

Nasihat Kepada Pelukis Muda 

Akhir sekali, nasihat saya kepada pekomik-pekomik muda, jangan mengalah dan teruskan dengan minat anda. Juga, anda perlu terus menimba ilmu komik bagi memantapkan skil komik dari semua segi, tidak kira dari segi kualiti lukisan mahupun mutu cerita yang semestinya perlu mantap. Saya juga masih dalam proses pembelajaran bagi memantapkan kemahiran saya.

Jangan fikir diri sendiri sudah cukup bagus. Pada mata anda sahaja nampak bagus, tetapi pada mata pelukis profesional, kemahiran anda masih pada tahap hingusan. Jadi, teruskan menimba ilmu. Sekiranya anda bercita-cita mahu menjadi pelukis komik sepenuh masa, ada satu formula rahsia yang perlu anda tahu:

“MINAT dicampur KERJA KERAS didarab dengan TIDAK PUTUS ASA pasti menghasilkan KEJAYAAN.”

Sekian sahaja, terima kasih. Jumpa lagi. Bye bye! Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Berkenaan Penulis

Reja bekerja sebagai pelukis sepenuh masa. Beliau giat menghasilkan komik panjang, komik antologi, komik semuka, ilustrasi dan kaver novel. Antara karya-karya popular beliau adalah siri komik Shootz! dan siri nomik Young Aisyah (bersama-sama Saridah Hamid). Alamat blog beliau adalah http://rejakartun.blogspot.com/